Cetak

Sekolahku, Hospitalku 2015

Ditulis oleh Pentadbir.

banner

 

Pada 15 Oktober 2015, seramai lapan orang pelajar daripada program Pengajian Bahasa Inggeris dan Komunikasi (BEN), dan Pengajian Bahasa Arab (BAS) serta seorang pensyarah telah terlibat dalam program 'sekolahku, hopsitalku' anjuran oleh Fakulti Bahasa dan Komunikasi. Program ini dijalankan di hospital Sultanah Zahirah (HSZ) Kuala Terengganu dengan melibatkan pesakit kanak-kanak.
Seramai Sembilan orang kanak-kanak melibatkan diri dalam program ini yang bermula pada jam 2.30 petang dan berakhir pada jam 4.30 petang. Sesi pertama dimulai oleh pelajar BEN dengan menjalankan aktiviti pengajaran dan pembelajaran berkonsepkan rangsangan kognatif iaitu mengajar cara menyebut, mengeja, dan mengingati kembali jenis-jenis nama bunga dalam bahasa Inggeris. Di samping itu, aktiviti mewarna turut diadakan. Kaedah pengajaran menggunakan slide bergambar menjadikan sesi pembelajaran menarik dan seronok.

Cetak

ICL 2015

Ditulis oleh Pentadbir.

web

Fakulti Bahasa dan Komunikasi, Universiti Sultan Zainal Abidin dengan kerjasama Fakulti Kemanusiaan dan Sains Sosial, Prince of Songkla University, Thailand telah menganjurkan International Conference on Languages (ICL 2015). Persidangan ini telah berlangsung di Hotel Seri Pacific Kuala Lumpur selama dua hari iaitu bermula pada 10 Oktober 2015 hingga 11 Oktober 2015. ICL 2015 merupakan hasil kerjasama antara dua buah universiti ini dan ia dianjurkan secara berkala pada setiap dua tahun. Penganjuran seminar sebelum ini iaitu ICL 2013 telah dianjurkan di Phuket, Thailand.

Cetak

Wacana Ilmuwan Negara

Ditulis oleh Pentadbir.

Kesusasteraan Melayu dilihat sedang berhadapan dengan cabaran yang hebat dalam abad ke-21 ini. Kebanyakan masyarakat Melayu kurang peka terhadap keindahan dan kepentingan kesusasteraan Melayu dalam kehidupan. Tumpuan secara total dalam bidang ilmu yang lebih menjurus kepada sains dan teknologi juga dilihat sebagai cabaran yang besar terhadap proses kemandirian Kesusasteraan Melayu di Malaysia.

Menyedari tentang hakikat ini, Fakulti Bahasa dan Komunikasi, Universiti Sultan Zainal Abidin (UniSZA) dengan kerjasama Dewan Bahasa dan Pustaka telah mengambil inisiatif untuk memartabatkan bidang kesusasteraan Melayu dengan menganjurkan program Wacana Ilmuwan Negara bersama Sasterawan Negara yang tidak asing lagi iaitu Y.Bhg. Prof. Emeritus Dr. Muhammad Haji Salleh.

Program ini dianjurkan pada 16 September 2015 bertempat di Dewan Perdana, UniSZA dengan dihadiri oleh lebih 588 orang pelajar, pensyarah, pencinta seni dan bahasa serta masyarakat setempat. Selain bertujuan untuk memperkasakan bidang Kesusasteraan Melayu, program ini juga dianjurkan untuk menyalurkan dan menyebarluaskan ilmu pengetahuan berkaitan Kesusasteraan Melayu kepada para hadirin yang terdiri daripada pelbagai lapisan masyarakat dan bidang pendidikan.

Antara inti pati program ini adalah slot bicara bahasa oleh Yahya Ismail atau Pak Ya, deklamasi puisi nukilan Prof. Emeritus Dr. Muhammad Haji Salleh oleh para pelajar dari FBK UniSZA dan ulasan buku oleh Prof. Dr. Ding Choo Ming dan Zalina Abdul Aziz atau juga dikenali sebagai Ninot Aziz. Kemuncak program ini adalah majlis pelancaran buku Bridging the Past and the Present: A Festschrift Honouring Muhammad Haji Salleh dan syarahan perdana oleh Prof. Emeritus Dr. Muhammad Haji Salleh bertajuk Di Ambang Kesarjanaan: Pengalaman Sasterawan Negara.