Juara Program Pembinaan Bakat Siswa

Program Pembinaan Bakat Siswa yang dianjurkan oleh pihak Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) telah bermula pada tahun 2008. Pada asalnya program ini dikenali sebagai Akademi Sastera dari tahun 2008 hingga 2012, namun pada tahun 2013 diberi penjenamaan baharu iaitu Program Pembinaan Bakat Siswa. Program ini dilaksanakan oleh DBP dengan kerjasama Jabatan Pendidikan Tinggi, Kementerian Pendidikan Tinggi. Pelaksanaan program ini juga bertepatan dengan Pelan Strategik 2021-2025 DBP iaitu menjadikan bahasa Melayu sebagai bahasa ekonomi, bahasa Melayu sebagai bahasa negara dan bahasa Melayu sebagai bahasa ilmu. Sehubungan dengan itu, program ini selaras dengan usaha untuk memperkaya khazanah penyelidikan dan meningkatkan kepakaran ilmuwan bahasa dan Persuratan Melayu.

Penglibatan peserta merangkumi pelajar dari universiti awam (UA) dan universiti swasta (US) dari seluruh Malaysia dari pelbagai bidang pengajian bagi mencungkil bakat dalam bidang penulisan esei dan persembahan pembentangan video ulasan sastera yang ditanggani secara berkesan. Penganjuran Program Pembinaan Bakat Siswa 2021 ini melibatkan 15 institusi pengajian tinggi UA dan US dengan 29 penyertaan pelajar dan 15 orang pensyarah pembimbing dari seluruh Malaysia. Perlaksanaan program ini dibahagikan kepada dua kategori iaitu, kategori pertama Bengkel Pembinaan Bakat Siswa Penulisan Ilmiah yang disampaikan oleh Prof. Madya Dr. Norhayati Ab Rahman dari Jabatan Kesusasteraan, Akademik Pengajian Melayu, Universiti Malaya pada 16-17 November 2021 secara dalam talian. Kategori seterusnya, setiap peserta diberikan 10 tajuk pilihan bagi menghasilkan sebuah esei, di samping menghasilkan video rakaman ulasan esei sastera yang berdurasi selama tiga minit dan penyertaan perlu dihantar pada 27 November 2021 secara dalam talian.

Universiti Sultan Zainal Abidin (UniSZA) telah diwakili oleh dua orang peserta iaitu Anis Hamizah Kamaruzaman dan Wan Mohamad Irfan Wan Mohd. Fadhli dari Pusat Pengajian Bahasa Moden dan Komunikasi, Fakulti Bahasa dan Komunikasi (FBK). Dua orang calon peserta ini juga merupakan pelajar ambilan pertama bagi program Sarjana Muda Bahasa Melayu Kontemporari dengan Media Interaktif bagi sesi kemasukan 2021/2022. Kedua-dua calon peserta ini telah dibimbing oleh pensyarah dalam bidang pengkhususan Kesusasteraan Melayu di Pusat Pengajian Bahasa Moden dan Komunikasi, FBK, iaitu Encik Mohd Faradi Mohamed Ghazali. Sepanjang menjalani sesi latihan, bimbingan penulisan serta penghasilan video rakaman ulasan esei sastera, kedua-dua calon peserta ini menunjukkan komitmen dan kewibawaan yang tinggi. Meskipun tidak mempunyai pengalaman yang mencukupi, namun mereka dapat menghasilkan esei dan rakaman video persembahan pembentangan yang baik.

Kemuncaknya pada tanggal 9 Disember 2021, pihak Dewan Bahasa dan Pustaka telah mengumumkan keputusan dalam program ini. Salah seorang peserta UniSZA iaitu saudari Anis Hamizah Kamaruzaman telah dinobatkan sebagai juara dalam program di peringkat kebangsaan ini. Tajuk kajian yang ditanganinya ialah Sastera Memberikan Nilai Jiwa dan Kemanusiaan. Beliau telah memenangi wang tunai sebanyak RM3,000.00 dan sijil penyertaan. Kejayaan yang digapai oleh saudari Anis Hamizah Kamaruzaman ini merupakan mercu kegemilangan bagi program baharu yang ditawarkan di FBK, di samping sebagai batu loncatan kepada penghasilan graduan yang mempunyai salah satu objektif Flexible Education with Soul (FlexS) iaitu Melahirkan graduan berpersonaliti unggul dengan perwatakan budaya kerja profesional.

Program seumpama ini juga diharapkan berpanjangan agar dapat melahirkan golongan pelapis yang akan meneruskan legasi dalam memartabatkan penulisan esei sastera. Selain itu ia juga dapat meningkatkan nilai tambah diri graduan UniSZA untuk berdaya saing dalam dunia pekerjaan pada masa akan datang.

 

Hubungi Kami

FAKULTI BAHASA DAN KOMUNIKASI

Universiti Sultan Zainal Abidin
Kampus Gong Badak
21300 Kuala Nerus
Terengganu Darul Iman
MALAYSIA

Tel : 09-668 8100 
Faks : 09-668 7844

Ikuti Kami

Pengunjung

157537
Copyright © 2021 Fakulti Bahasa & Komunikasi | UniSZA | All Rights Reserved