Cetak

Pelajar UniSZA ke Universiti Aston, Birmingham

Ditulis oleh Pentadbir.

 

Nazirul Ikram Sirozi, seorang pelajar semester 2 bagi program Ijazah Sarjana Muda Bahasa Inggeris dengan Komunikasi (Kepujian), Fakulti Bahasa dan Komunikasi (FBK) telah terpilih untuk menyertai program “Aston International Summer University” di Aston University, Birmingham.

Pihak FBK telah mencalonkan Nazirul Ikram Sirozi untuk menyertai proses pemilihan bagi mengikuti program ini berdasarkan pencapaian akademik (CGPA) dan penglibatan aktif beliau dalam aktiviti kokurikulum yang dianjurkan oleh pihak fakulti dan universiti. Dalam proses pemilihan tersebut, beliau dikehendaki menulis sebuah esei dalam bahasa Inggeris bertajuk “Kenapa anda mahu mengikuti kursus musim panas di UK?”, selain menghadiri sesi temu bual bersama pihak penganjur.

Program “Aston International Summer University” ini merupakan program anjuran Persatuan Alumni Universiti Aston Malaysia dengan pengiktirafan oleh Kementerian Pendidikan Malaysia dan ia telah bermula sejak tahun 2011. Setiap tahun, pihak penganjur akan  menghantar dua orang calon untuk menyertai program tersebut yang berlangsung selama tiga minggu. Pada tahun ini, program akan bermula pada 4 Ogos 2013 sehingga 24 Ogos 2013. Hasil daripada proses pemilihan yang dijalankan, dua orang pelajar telah terpilih iaitu Nazirul Ikram Sirozi dari UniSZA dan seorang lagi pelajar dari UniTEN.  Dalam program ini, para peserta akan mengikuti kursus komunikasi antara budaya sepanjang keberadaan mereka di Aston University, Birmingham.

Adalah menjadi harapan bersama agar kejayaan beliau ini akan menjadi sumber inspirasi kepada pelajar-pelajar lain yang akan terus berusaha membawa nama UniSZA ke persada antarabangsa. Sekalung tahniah diucapkan!

 

ll Galeri ll

 

Sumber berita : Mahani binti Mohamad