Cetak

Hospital Friendly Programme

Ditulis oleh Pentadbir.

“Hospital Friendly Programme” adalah program kemasyarakatan anjuran bersama Fakulti Bahasa dan Komunikasi, UniSZA dengan Hospital Sultanah Nur Zahirah, Kuala Terengganu.  Program ini diadakan pada setiap petang Khamis daripada pukul 2.30 petang hingga 4.30 petang sebagai salah satu aktiviti kemasyarakatan.

Aktiviti ini dikelolakan oleh pelajar- pelajar UniSZA daripada Diploma TESL (Teaching English as a Second Language) dan Ijazah Sarjana Muda Bahasa Inggeris dan Komunikasi (Kepujian). Setiap kumpulan pelajar akan mengadakan aktiviti Bahasa Inggeris dengan pesakit-pesakit yang sedang menjalani rawatan harian di wad pediatrik di Hospital Sultanah Nur Zahirah. Kumpulan sasarannya pula ialah para pesakit kanak-kanak pra-sekolah, kanak-kanak sekolah rendah dan menengah yang stabil dari segi perubatan dan dapat menghadiri sesi pembelajaran tersebut. Staf akademik Fakulti Bahasa dan Komunikasi pula memainkan peranan sebagai penasihat dan juga guru pengiring dalam program ini.

Program ini telah berlangsung selama lima sesi. Sesi kelima yang telah bermula pada 10 Oktober sehingga 19 Disember 2013 dikendalikan oleh pelajar semester 3,5 dan 7 dari Ijazah Sarjana Muda Bahasa Inggeris dengan Komunikasi. Seramai 11 orang pelajar dari Semester 3, 28 pelajar dari Semester 5 dan 4 orang pelajar dari Semester 7 akan terlibat dalam sesi kelima ini.

Objektif pelaksanaan program ini adalah untuk mengukuhkan hubungan antara para pelajar dan masyarakat setempat.  Selain itu, program ini juga diharapkan dapat menjadi platform kepada para pelajar untuk melibatkan diri dalam kerja-kerja sukarela untuk masyarakat dan ini akan meningkatkan jati diri para pelajar.

Program yang dilaksanakan di Hospital Besar Sultanah Nur Zahirah ini mendapat sambutan yang menggalakkan daripada para pesakit kanak-kanak dan pihak hospital. Berdasarkan maklum balas yang diterima, pihak hospital juga berharap agar program ini diteruskan dari semasa ke semasa.

 

ll Galeri ll