Cetak

Rombongan dari FPBU, USIM ke FBK

Ditulis oleh Pentadbir.

mahabbah

 

Pada 23 Mac 2014, Pusat Pengajian Bahasa Arab, Fakulti Bahasa dan Komunikasi (FBK), UniSZA telah menerima kunjungan delegasi pelajar-pelajar persatuan Al-Thaqafah dari Universiti Sains Islam Malaysia (USIM). Penganjuran lawatan ini yang juga dinamakan sebagai "Delegasi Mahabbah" bertujuan untuk merapatkan hubungan dua hala di antara FBK, UniSZA dengan Fakulti Pengajian Bahasa Utama (FPBU), USIM. Kunjungan ini disertai oleh seramai 38 orang para pelajar pengajian Bahasa Arab USIM termasuk Timbalan Dekan (Pembangunan Pelajar dan Pengurusan Prestasi), Fakulti Pengajian Bahasa Utama (FPBU), USIM iaitu Dr. Mohammad Najib bin Jaafar. Rombongan ini tiba seawal jam 9.30 pagi, dan mereka berkesempatan dibawa melawat persekitaran fakulti-fakulti UniSZA, Kampus Gong Badak.

Sempena dengan lawatan ini, Pusat Pengajian Bahasa Arab telah mengadakan sesi diskusi dengan pihak USIM yang melibatkan 65 orang termasuk para pelajar Ijazah Sarjana Muda Pengajian Bahasa Arab dan beberapa orang pensyarah yang diketuai oleh Ketua Pusat Pengajian Bahasa Arab, En. Mohd Hazli bin Yah @ Alias yang bertempat di Bilik Aktiviti FBK. Diskusi yang berlangsung hampir satu jam setengah itu berkaitan dengan struktur pembelajaran di kedua-dua universiti, sistem pengajian, pembangunan "soft skill" pelajar dan beberapa aspek penting yang boleh membantu kedua-dua pihak untuk saling memperkasakan insitusi masing-masing.

Diskusi tersebut turut melibatkan wakil pelajar daripada UniSZA, Saiful Radzi bin Rislan bersama dengan wakil pelajar daripada USIM iaitu Aiman bin Shaari. Acara tersebut turut dihadiri oleh Dr. Zulazhan bin Ab. Halim, Timbalan Dekan (Penyelidikan dan Inovasi) FBK. Lawatan ini merupakan satu langkah awal bagi menjalinkan hubungan yang lebih erat antara persatuan dan para pelajar yang mendalami bidang bahasa Arab di UniSZA dan USIM. Beberapa program turut direncanakan bagi meneruskan hubungan baik antara dua belah pihak dengan perancangan terdekat iaitu mengadakan kunjungan balas ke USIM.

 

II Galeri II