Artikel

Cetak

Seminar Bilateral

Ditulis oleh Pentadbir.

bil

Pusat Bahasa, UPNM dengan Fakulti Bahasa dan Komunikasi, UniSZA mengorak satu langkah dengan mengadakan kerjasama strategik melalui satu Majlis Menandatangani “Letter of Intent”. Majlis ini telah diadakan pada 22hb Jun 2014 yang bertempat di Dewan Senat, Kampus Gong Badak, UniSZA.  Fakulti Bahasa dan Komunikasi, UniSZA telah diwakili oleh Prof Madya Dr. Normah Yusof, Timbalan Dekan (Akademik dan Siswazah), sementara Pusat Bahasa, UPNM pula diwakilli oleh Lt. Kol. Prof Madya Dr. Surjeet Singh Jeggy. 

 

Majlis tersebut diadakan sejurus selepas berlangsungnya Seminar Bilateral antara Fakulti Bahasa dan Komunikasi, UniSZA dengan Pusat Bahasa, UPNM yang bertemakan “Bahasa dan Peradaban”. Tiga orang pensyarah dari setiap universiti telah membentangkan kertas kerja masing-masing dalam seminar tersebut. Antaranya ialah kertas kerja yang bertajuk “Bahasa dan Aspirasi Murid di Peringkat Global: Tinjauan Berdasarkan Pelan Pembangunan Pendidikan Malaysia (PPPM) 2013-2025 (Pendidikan Prasekolah hingga Lepas Menengah)“. Makalah ini telah dibentangkan oleh pensyarah Bahasa Melayu dari UniSZA, Sharipah Nur Mursalina bt Syed Azmy yang membicarakan tentang enam aspirasi yang wajar dimiliki oleh setiap murid untuk menghadapi cabaran globalisasi dan semasa. Enam aspirasi yang digariskan dalam PPPM ini sangat wajar dimiliki oleh setiap murid supaya lahirnya generasi holistik dari segi intelek, rohani, emosi dan jasmani untuk meningkatkan pertumbuhan ekonomi serta pembangunan sesebuah negara. Manakala Wan Ikhlas Wan Mokhtar, pensyarah Bahasa Perancis dari UPNM pula telah berjaya membuatkan para peserta seminar berfikir tentang suatu konsep yang jarang didengari, iaitu “Francophonie”. Beliau telah menceritakan bagaimana bahasa Perancis digunakan untuk mengekalkan penguasaan dan kebergantungan negara-negara yang pernah berada di bawah pemerintahan Perancis supaya kekal di bawah pengaruh negara tersebut. Contoh yang diberikan ialah negara-negara seperti Mali di Afrika serta Vietnam dan Kemboja di Asia.

 

Seramai 54 orang peserta yang terdiri daripada pensyarah, kakitangan dan pelajar-pelajar UniSZA telah menghadiri Seminar Bilateral ini. Seminar seterusnya dijadualkan akan diadakan di Kuala Lumpur pada tahun hadapan dan UPNM pula sebagai tuan rumah. Bagi meneruskan perkongsian ilmiah ini, seminar sebegini akan menjadi acara tahunan bagi kedua-dua buah universiti. Jalinan kerjasama yang terbina melalui seminar yang diadakan dan Majlis Menandatangani “Letter of Intent” diharapkan dapat mengeratkan lagi hubungan antara dua buah universiti ini pada masa akan datang terutamanya dari segi pengajaran dan pembelajaran, penyelidikan serta pertukaran pelajar.