Artikel

Cetak

Bengkel Pengurusan Khidmat Pelanggan

Ditulis oleh Pentadbir.

 

Pusat Pengajian Bahasa Moden dan Komunikasi, Fakulti Bahasa dan Komunikasi, UniSZA mengorak langkah baharu apabila tiga orang pensyarahdari pusat pengajian berkenaan dijemput sebagai penceramah dan fasilitator Bengkel Pengurusan Khidmat Pelanggan anjuran Pusat Khidmat Pelanggan,Universiti Malaysia Terengganu (UMT).

Bengkel berkenaan telah diadakan pada 28 Ogos 2014 bertempat di Bilik Seminar, Pusat Siswazah UMT. Bengkel berkenaan dihadiri oleh 45 orang staf Pusat Pengurusan Teknologi Maklumat UMT. Bengkel dikendalikan oleh Encik Suffian Hadi Ayub dan dibantu oleh Puan Nor Hafizah Abdullah dan Puan Sharipah Nur Mursalina Syed Azmi.

Encik Suffian Hadi Ayub dan para fasilitator telah memberi pendedahan kepada para peserta tentang teknik pengurusan khidmat pelanggan yang efektif, selain memberi kesedaran kepada para peserta tentang kepentingan komunikasi dalam organisasi. Selain itu, mereka juga melatih para peserta menggunakan komunikasi yang berkesan dalam tugas berkaitan khidmat pelanggan.

Mereka juga telah mengendalikan bengkel tersebut dalam dua sesi. Pada sesi pagi, bengkel merangkumi pengenalan kepada asas komunikasi, kepentingan komunikasi dan latihan dalam kumpulan. Manakala sesi petang merangkumi latihan berkenaan teknik menjawab panggilan telefon, kemahiran mendengar dan memahami masalah serta pembentangan dalam kumpulan.

Bengkel berakhir jam 5.00 petang dan rata-rata peserta menyatakan bahawa bengkel ini amat bermanfaat dalam usaha memperbaiki mutu perkhidmatan pelanggan mereka.