Artikel

Cetak

Seminar P&P Bahasa Arab 2014

Ditulis oleh Pentadbir.

Seminar Pengajaran dan Pembelajaran Bahasa Arab 2014 telah dianjurkan dengan jayanya pada 14 September 2014. Seminar ini dianjurkan secara bersama oleh Fakulti Pengajian Islam, Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), Fakulti Bahasa dan Komunikasi (FBK) dan Fakulti Pengajian Kontemporari Islam (FKI), Universiti Sultan Zainal Abidin (UniSZA). Seminar yang bertempat di Blok Akademik, UniSZA Kampus Gong Badak ini disertai oleh para pensyarah, para penyelidik, guru-guru dan pelajar-pelajar seluruh Malaysia. Sebanyak 51 kertas kerja telah dibentangkan berkaitan dengan kualiti guru, teknik pengajaran dan pembelajaran bahasa Arab di Malaysia dan pelbagai isu lain dalam bidang bahasa Arab.


    Perasmian telah disempurnakan oleh Dekan FBK, Prof. Madya Dr. Mohd Nazri Latiff Azmi di Dewan Auditorium, Blok Akademik UniSZA. Objektif seminar ini adalah untuk berkongsi pengalaman P&P bahasa Arab dan mengetengahkan pendekatan terkini dalam usaha memantapkan P&P bahasa Arab di peringkat menengah dan pengajian tinggi. Selain itu, ia juga bertujuan untuk meneliti isu dan masalah yang dihadapi dalam P&P bahasa Arab masa kini serta diskusi tentang kaedah penyelesaiannya.

      Sesi pembentangan ucaptama seminar ini telah disampaikan oleh Profesor Pelawat FBK, Y.Bhg. Prof. Dato' Dr. Hassan Basri Awang Mat Dahan. Seminar ini juga membariskan empat pembentang utama iaitu Prof. Madya Dr. Zamri Arifin (UKM), Prof. Madya Dr. Rosni Samah (USIM), Dr. Zulazhan Ab. Halim (FBK, UniSZA) dan Dr. Zaid Ismail (FKI, UniSZA). Pembentangan selari telah diadakan pada sesi petang yang melibatkan enam tempat pembentangan. Seminar ini telah diakhiri dengan pembentangan solusi seminar yang disampaikan oleh Prof. Madya Dr. Zamri Arifin. Majlis penutup telah dirasmikan oleh Dekan Fakulti Pengajian Islam, UKM iaitu Prof. Dr. Nasran Mohamad.

ll Galeri ll