Artikel

Cetak

Program bersama Profesor Pelawat

Ditulis oleh Pentadbir.

Pada 22 September 2014, Fakulti Bahasa dan Komunikasi (FBK) telah menerima kunjungan Profesor Pelawat bagi Pusat Pengajian Bahasa Inggeris, iaitu Yg. Bhg. Prof. Dr. Raja Maznah Raja Hussain. Sempena kedatangan beliau, tiga program telah diatur demi pemanfaatan para pensyarah dan pelajar FBK khususnya.
Program pertama dimulai dengan syarahan akademik yang berlangsung di Dewan Gimnasium, UniSZA. Dengan bertemakan "E-learning: A Potential Answer to the Learning Challenges in Malaysia", syarahan tersebut telah dihadiri oleh para staf akademik FBK dan jemputan luar, pelajar Ijazah Sarjana Muda Bahasa Inggeris dengan Komunikasi (BEN), pelajar Ijazah Sarjana Muda Pengajian Bahasa Arab (BAS) dan pelajar Diploma TESL. Dalam syarahan tersebut, Yg. Bhg. Prof. Dr. Raja Maznah Raja Hussain memberi penerangan menarik mengenai cabaran-cabaran yang dihadapi dalam pengaplikasian e-learning di peringkat universiti. Sesi syarahan dilakukan secara interaktif dan dapat menarik perhatian para hadirin serta menjadikan syarahan tersebut lebih aktif serta bermanfaat. Pada akhir syarahan tersebut, beliau menjawab beberapa persoalan yang dikemukakan oleh para pelajar dan pensyarah. Nyatanya, pelajar berminat dengan isu yang disampaikan oleh beliau.


Program ini diteruskan lagi dengan sesi perkongsian mengenai rancangan penyelidikan antara Yg. Bhg. Prof. Dr. Raja Maznah Raja Hussain dengan para staf akademik FBK. Pada sesi ini, beliau membicarakan isu-isu penting untuk memohon geran FRGS atau mana-mana geran penyelidikan luar. Beliau menegaskan betapa pentingnya memahami keperluan dan halatuju geran tersebut sebelum membuat permohonan. Hal ini supaya penyelidik dapat memastikan kajian yang bakal dilakukan, sehaluan dengan keperluan geran dan yang paling penting, permohonan tersebut berjaya diperolehi.
Program terakhir yang diadakan ialah sesi pertemuan Yg. Bhg. Prof. Dr. Raja Maznah Raja Hussain dengan para pelajar pascasiswazah FBK. Sesi ini dihadiri oleh para pelajar dan penyelia masing-masing. Dalam sesi ini, para pelajar pascasiswazah berkongsi maklumat mengenai penyelidikan yang mereka sedang dan akan lakukan. Melalui sesi perkongsian ini, input dan komen yang diberikan oleh profesor pelawat pastinya dapat membantu mereka dalam menjalankan penyelidikan dengan lebih baik. Semoga pertemuan seterusnya pada masa hadapan akan dapat memberi manfaat kepada warga FBK. Diharap warga FBK juga dapat meneruskan usaha-usaha untuk memperbaiki mutu pengajaran dan penyelidikan dengan adanya majlis-majlis perkongsian ilmu seumpama ini.

ll Galeri ll