Artikel

Cetak

Lawatan Akademik ke UAD & UNISSA

Ditulis oleh Pentadbir.

UAD

 

Jalinan kerjasama antara universiti terutama di luar negara mampu mengorak langkah ke arah menjadikan sesebuah institusi pendidikan bertaraf global. Sesebuah universiti perlu berusaha mencapai taraf institusi pengajian tinggi antarabangsa dengan melaksanakan pelbagai aktiviti merentasi sempadan negara. Berdasarkan realiti ini, Universiti Sultan Zainal Abidin (UniSZA) telah menandatangani perjanjian persefahaman MoU dengan beberapa buah universiti luar negara termasuk Universiti Islam Sultan Sultan Sharif Ali (UNISSA) di Brunei Darussalam dan Universitas Ahmad Dahlan (UAD) di Indonesia.

Bagi memastikan jalinan kerjasama antara UniSZA dan dua buah universiti tersebut berjalan sepertimana yang dikehendaki, pihak Fakulti Bahasa dan Komunikasi (FBK), UniSZA telah menghantar rombongan akademik ke UNISSA dan UAD untuk membuat perbincangan lanjut mengenai usaha kerjasama antara universiti serta menjalankan beberapa program ilmiah berbentuk syarahan akademik dan bengkel pengajaran dan pembelajaran bahasa.

Pada 19-21 Oktober 2014, rombongan dari FBK yang terdiri daripada Timbalan Dekan (Penyelidikan dan Inovasi), Dr. Zulazhan Ab. Halim dan pensyarah Pusat Pengajian Bahasa Arab, Mohd Shahrizal Nasir telah melawat Fakulti Bahasa Arab dan Tamadun Islam, UNISSA. Dalam lawatan tersebut, rombongan telah membuat kunjungan hormat kepada Rektor UNISSA, Yang Mulia Dr. Haji Norarfan Haji Zainal, mesyuarat bersama pihak Fakulti Bahasa Arab dan Tamadun Islam, UNISSA yang diketuai oleh Dekan Fakulti Bahasa Arab dan Tamadun Islam, Dr. Abang Hadzimin Abang Taha, syarahan akademik dan bengkel pembelajaran bahasa Arab kepada para pelajar UNISSA.

Syarahan Akademik telah disampaikan oleh Dr. Zulazhan Ab. Halim bertajuk Isu Kebolehbacaan Teks Arab: Keperluan dan Pengukuran. Sesi syarahan ini dihadiri oleh warga pendidik dan pelajar UNISSA selain guru-guru bahasa Arab di Brunei Darussalam. Manakala bengkel pengajaran bahasa Arab yang melibatkan para pelajar dari Fakulti Bahasa Arab dan Tamadun Islam telah dikendalikan oleh Mohd Shahrizal Nasir dengan tajuk perkongsiannya iaitu Isu-isu dalam Pembelajaran Bahasa dan Kesusasteraan Arab. Selain wakil dari UniSZA, sesi syarahan dan bengkel turut melibatkan seorang tenaga pengajar dari UNISSA. Program ini telah mendapat liputan meluas dalam media elektronik dan cetak negara Brunei Darussalam.

Rombongan FBK ke Universitas Ahmad Dahlan pula berlangsung pada 20-22 Oktober 2014. Lawatan akademik ini tertumpu kepada dua fakulti di UAD iaitu Fakultas Keguruan dan Ilmu Pendidikan (FKIP) dan Fakultas Tarbiyah dan Dirasah Islamiah (FTDI). Rombongan FBK telah diwakili oleh tiga orang iaitu Timbalan Dekan (Akademik dan Siswazah), Prof. Madya Dr. Normah Yusof, Ketua Pusat Pengajian Bahasa Moden dan Komunikasi, Akmah Yusof dan pensyarah Pusat Pengajian Bahasa Arab, Shaferul Hafes Sha’ari.

Mesyuarat antara UniSZA dan dua fakulti dari UAD yang terlibat berlangsung dalam suasana kerjasama yang erat melibatkan pihak pengurusan fakulti dan ketua-ketua program. Hal ini terbukti apabila fakulti-fakulti yang terlibat dalam mesyuarat yang diadakan telah diwakili oleh pihak pengurusan tertinggi fakulti. Selain itu, lawatan akademik ke UAD dimanfaatkan dengan penyampaian Syarahan Akademik oleh Prof. Madya Dr. Normah Yusof bertajuk Leaner Diversity, manakala dua bengkel pembelajaran bahasa turut diadakan dengan tajuk English Camp in Enhancing Students’ Profiency oleh Akmah Yusof dan Language Acquisition Through Animation Imitation oleh Shaferul Hafes Sha’ari. Kedua-dua bengkel ini telah disertai oleh para pendidik dan pelajar dari UAD.

Sesi perbincangan mengenai hala tuju jalinan kerjasama antara FBK, UniSZA dengan pihak fakulti di UNISSA dan UAD telah dijalankan pada lawatan kali ini. Fokus perbincangan melibatkan aspek pengajaran dan pembelajaran, penyelidikan dan penerbitan, penganjuran seminar, pertukaran mahasiswa antara universiti bagi menjalankan aktiviti pelajar dan latihan industri serta penyeliaan dan pemeriksaan bagi disertasi pelajar siswazah.

Berdasarkan hasil perbincangan, kedua-dua pihak bersetuju untuk terus memperkasakan hubungan persefahaman dan kerjasama antara UniSZA dengan UNISSA dan UAD. Pihak pengurusan FBK merakamkan ucapan syabas dan terima kasih kepada ahli rombongan yang terlibat dalam lawatan akademik ke dua buah institusi tersebut. Ucapan terima kasih juga ditujukan kepada pihak pengurusan UniSZA yang sentiasa memberi sokongan terhadap usaha memperkasa jalinan akademik antara FBK dengan institusi-institusi pengajian tinggi luar negara.

 

II Galeri II