Artikel

Cetak

SCEF '14

Ditulis oleh Pentadbir.

BNA

 

Ledakan era globalisasi pada abad ke-21 telah memberi cabaran hebat kepada masyarakat di Malaysia terutamanya dari segi penggunaan dan penguasaan bahasa Inggeris. Menguasai bahasa Inggeris amat penting terutamanya kepada para pelajar kerana sumber maklumat dalam media kontemporari kebanyakannya dalam bahasa Inggeris. Justeru, generasi muda yang bakal menjadi pemangkin masa depan negara khususnya tidak boleh lagi berada di zon selesa dan mengambil ringan tentang kepentingan menguasai bahasa antarabangsa ini.

Menyedari tentang kepentingan penguasaan bahasa Inggeris ini, para pelajar Semester 7 Kursus Event Management and Planning (BKE 4073) di bawah seliaan Puan Nor Jijidiana binti Azmi telah menganjurkan program 'Sketch Competition and English Fest 2014' bertempat di Perbadanan Perpustakaan Awam Terengganu pada 29 November 2014.

Tujuan utama program ini diadakan adalah untuk mendedahkan para pelajar kursus tersebut tentang teknik-teknik mengendalikan sesebuah majlis dengan efektif dan berjaya. Selain itu, program Sketch Competition and English Fest 2014 juga diadakan sebagai salah satu inisiatif pelajar dan golongan belia di institusi-institusi pengajian tinggi awam dan swasta untuk meningkatkan kemahiran bahasa Inggeris mereka dengan cara yang mudah melalui aktiviti-aktiviti yang menyeronokkan. Hal ini kerana pembelajaran secara formal di dalam kelas dengan disusuli program-program seperti ini dapat memperbaiki penguasaan bahasa Inggeris mereka dengan lebih efektif.

 

Antara aktiviti yang telah diadakan sepanjang program ini ialah pameran bahasa Inggeris yang bertemakan 'World English' dan pertandingan Sketsa Bahasa Inggeris yang bertemakan kemanusiaan. Sebanyak lima buah kumpulan telah menyertai pertandingan Sketsa Bahasa Inggeris ini.

Majlis penutup telah disempurnakan oleh Puan Rohayah Binti Yahya, Ketua Unit Bahagian Perkhidmatan Perpustakaan dan Maklumat, Perbadanan Perpustakaan Awam Negeri Terengganu. Dalam ucapannya, beliau menyeru setiap peserta serta pelajar untuk membuang rasa malu untuk menguasai bahasa Inggeris supaya lebih berdaya saing dalam sektor pekerjaan kelak.

Majlis penutup telah diserikan dengan persembahan koir dan pertunjukan montaj serta gimik daripada ahli jawatankuasa program. Pemenang pertandingan Sketsa Bahasa Inggeris telah diumumkan pada majlis penutup tersebut. Johan dan naib johan pertandingan sketsa ini ialah pasukan dari Universiti Sultan Zainal Abidin, manakala tempat ketiga dimenangi oleh Universiti Malaysia Terengganu. Hadiah saguhati tempat keempat pula dimenangi oleh Institut Teknologi Petroleum Petronas (INSTEP).

 

ll Galeri ll