Artikel

Cetak

Program Kembara Ilmu

Ditulis oleh Pentadbir.

j

 

Fakulti Bahasa dan Komunikasi, Universiti Sultan Zainal Abidin telah menerima kunjungan daripada sebelas orang pelajar dan dua orang pensyarah dari Tokyo University of Foreign Studies (TUFS). Kehadiran mereka diberi sambutan yang meriah bermula di Lapangan Terbang Sultan Mahmud. Mereka dibawa ke UniSZA, Kampus Gong Badak untuk sesi perkenalan dan penyerahan kepada keluarga angkat.

Program yang dikenali sebagai "Program Kembara Ilmu TUFS-UniSZA" ini bermula pada 13 hingga 17 Mac 2015. Semua sebelas orang pelajar dari TUFS, Jepun ini telah diserahkan kepada enam buah keluarga angkat yang terdiri daripada keluarga para pensyarah Fakulti Bahasa dan Komunikasi, UniSZA. Lawatan para pelajar dari Jepun ini bertujuan memahirkan lagi penguasaan bahasa Melayu mereka, di samping mendalami budaya dan gaya hidup masyarakat di Malaysia. Lawatan ini juga menjadi platform terbaik dalam menjalinkan hubungan serta kerjasama dua hala antara UniSZA dan TUFS.

Sepanjang empat hari lawatan mereka ke Terengganu, para pelajar dari TUFS ini telah dibawa melawat pelbagai tempat yang menarik di Terengganu antaranya lawatan ke Muzium Negeri Terengganu, Taman Tamadun Islam, Pasar Payang, Noor Arfa Batik, Pulau Perhentian dan lain-lain lagi. Program-program ini turut disertai oleh warga FBK, sama ada para pensyarah, keluarga angkat dan juga para pelajar.

Semoga lawatan ini dapat membawa manfaat kepada kedua-dua belah pihak khususnya para pelajar sama ada pelajar dari TUFS dan juga para pelajar FBK, UniSZA.

 

ll Galeri ll