Artikel

Cetak

Skor A: Najah Dunia & Najah Akhirat

Ditulis oleh Pentadbir.

14 Mei 2015 – Biro Kerohanian bagi Persatuan Pelajar Bahasa dan Komunikasi (FALCOM) telah mengadakan Program Solat Hajat sebelum menghadapi peperiksaan akhir semester yang akan bermula pada 24 Mei sehingga 7 Jun 2015. Program ini bermula dengan solat fardu Maghrib dan berakhir selepas solat Isyak dan solat Hajat diselangi dengan tazkirah maghrib yang disampaikan oleh pensyarah FBK iaitu Ustaz Mohd Shahrizal bin Nasir dengan tajuknya "Skor A: Najah Dunia Najah Akhirat". Dalam sesi tazkirah tersebut, Ustaz Mohd Shahrizal berkongsi mutiara kata dan input-input yang berharga untuk diamalkan bersama khususnya ketika menjelang musim peperiksaan.

Selepas solat Isyak, solat Hajat ditunaikan secara berjemaah dengan dipimpin oleh Ustaz Mohd Shahrizal. Program Solat Hajat ini diadakan di Surau Saodah, UniSZA Kampus Gong Badak. Program ini terbuka kepada semua mahasiswa terutama dari Fakulti Bahasa dan Komunikasi iaitu BAS, BEN termasuk juga pelajar TESL yang hadir daripada Kampus Tembila. Terima kasih diucapkan kepada semua pelajar FBK yang hadir terutama pelajar TESL yang datang dari Tembila untuk sama-sama menghadiri program pada kali ini. Program berakhir dengan jamuan ringan serta sesi ta’aruf atau berkenalan antara satu sama lain untuk lebih mengenali warga pelajar di FBK yang hadir dalam program ini. Program tamat sekitar jam 9.45 malam.

Disediakan oleh:
Wan Ahmad Azizullah Wan Omar

|| Galeri||