Artikel

Cetak

Perkhemahan Bahasa Arab

Ditulis oleh Pentadbir.

mukhayyam header1

Penguasaan kemahiran berbahasa merupakan tunjang utama dalam memahami serta mempraktikkan sesuatu bahasa. Bahasa Arab juga tidak terkecuali dalam menekankan empat kemahiran berbahasa utama iaitu kemahiran membaca, menulis, mendengar dan bertutur. Satu inisiatif yang tersusun telah dirancang oleh Pusat Pengajian Bahasa Arab, FBK, UniSZA dengan mengadakan Perkhemahan Bahasa (Mukhayyam Lughawi) selama seminggu bermula dari 28 Mei 2015 sehingga 4 Jun 2015 yang lepas.

Mukhayyam Lughawi 1 ini merupakan salah satu subjek teras yang wajib diambil oleh para pelajar Ijazah Sarjana Muda Pengajian Bahasa Arab pada semester 4. Kursus ini terdiri daripada aktiviti dalaman (indoor) dan aktiviti luaran (outdoor). Ia memberi pendedahan kepada para pelajar tentang kemahiran komunikasi yang bertujuan untuk membantu mereka menguasai bahasa Arab dengan baik. Selain itu, ia juga memberi peluang kepada para pelajar untuk menerapkan kemahiran insaniah dalam diri seperti kepimpinan dan kerjasama dalam aktiviti pengukuhan bahasa Arab.

Perkhemahan yang julung kalinya diadakan ini melibatkan seramai 22 orang pelajar ISM Pengajian Bahasa Arab UniSZA dan 20 orang pelajar Ijazah Sarjana Muda Bahasa Arab dari Universiti Fatoni, Thailand. Para pensyarah Pusat Pengajian Bahasa Arab FBK dan dua orang pensyarah pengiring dari Universiti Fatoni terlibat dalam perkhemahan ini sebagai fasilitator dan hakim bagi setiap aktiviti yang dijalankan.

Pelbagai aktiviti dalaman dan luaran telah dirangka bagi memastikan matlamat dan objektif kursus ini berjaya dicapai. Aktiviti dalaman telah dijalankan di sekitar UniSZA Kampus Gong Badak selama lima hari yang melibatkan sebanyak sepuluh aktiviti bahasa. Aktiviti luaran pula melibatkan tiga aktiviti yang bertempat di Angullia Beach House, Marang, Terengganu dan berlangsung selama 3 hari. Kesemua aktiviti ini menekankan aspek kemahiran bahasa Arab khususnya kemahiran bertutur dalam bahasa Arab, sesuai dengan temanya iaitu "Bercakaplah sekalipun anda melakukan kesilapan".

Secara keseluruhannya, program ini berjaya mencapai objektif dan matlamat yang digariskan. Hasil kerjasama PPBA, FBK dengan Jabatan Bahasa Arab Universiti Fatoni ini menguatkan hubungan dua hala dalam misi memartabatkan bahasa Arab sebagai antara bahasa utama dunia.

Montaj Penutup Perkhemahan Bahasa Arab [2015]

Montaj Perasmian Perkhemahan Bahasa Arab [2015]

ll Galeri ll