Artikel

Cetak

Program Jalinan FBK dengan SMKA Melor

Ditulis oleh Pentadbir.

melor

 

Satu program jalinan akademik di antara Universiti Sultan Zainal Abidin (UniSZA) melalui Fakulti Bahasa dan Komunikasi (FBK) dengan SMKA Melor, Kota Bharu, Kelantan telah berjaya dilaksanakan pada 7-9 Jun 2015 bertempat di UniSZA Kampus Gong Badak. Seramai 36 orang pelajar tingkatan lima dan tiga guru pengiring telah tiba di UniSZA pada pukul 6.30 petang pada 6 Jun 2015 dan disambut oleh Timbalan Dekan HEPA FBK merangkap Pengarah Program, YM Engku Suhaimi bin Engku Atek, Ketua Pusat Pengajian Bahasa Inggeris/Penyelaras Aktiviti, Puan Kamariah binti Yunus, Puan Zanirah binti Wahab (pensyarah/Timbalan Pengarah Program) dan 20 orang fasilitator yang terdiri daripada pelajar tahun dua Ijazah Sarjana Muda Bahasa Inggeris dengan Komunikasi.

 

Pelbagai aktiviti telah diadakan sepanjang tiga hari program berlangsung yang bertujuan meningkatkan keyakinan para pelajar SMKA Melor untuk bertutur dalam bahasa Inggeris antaranya, Dream Team, Future Journalist, Hot Seat, Action Song, Explorace dan Musical Sketch. Aktiviti Musical Sketch contohnya menyaksikan para pelajar menggunakan kreativiti masing-masing untuk menulis skrip berbahasa Inggeris dengan tema Folk Tales (cerita rakyat) dan mempersembahkan sketsa hasil nukilan mereka di pentas pada hari ketiga program berlangsung. Aktiviti Action Song pula menyaksikan aksi spontan para pelajar menyanyikan lagu berbahasa Inggeris sambil membuat gaya menarik yang bersesuaian dengan lagu tersebut.

Menerusi aktiviti-aktiviti yang dijalankan, para pelajar dapat mempraktikkan kemahiran bahasa dan dapat memperbaiki pertuturan bahasa Inggeris mereka dalam suasana yang santai dan kondusif. Semua peserta perlu berkomunikasi antara satu sama lain dalam bahasa Inggeris untuk menjayakan setiap tugasan yang diberikan. Program ini juga merupakan satu platform untuk para fasilitator agar dapat mengasah keupayaan berbahasa Inggeris mereka selain daripada memberikan pengalaman baru menguruskan projek-projek bahasa bersama komuniti. Melalui borang kaji selidik kesesuaian program yang diedarkan pada akhir program, rata-rata pelajar dan guru pengiring memberikan maklum balas yang positif dan berharap mereka dapat menyertai program seumpama ini di UniSZA pada masa akan datang.

 

ll Galeri ll