Artikel

Cetak

Wacana Ilmuwan Negara

Ditulis oleh Pentadbir.

Kesusasteraan Melayu dilihat sedang berhadapan dengan cabaran yang hebat dalam abad ke-21 ini. Kebanyakan masyarakat Melayu kurang peka terhadap keindahan dan kepentingan kesusasteraan Melayu dalam kehidupan. Tumpuan secara total dalam bidang ilmu yang lebih menjurus kepada sains dan teknologi juga dilihat sebagai cabaran yang besar terhadap proses kemandirian Kesusasteraan Melayu di Malaysia.

Menyedari tentang hakikat ini, Fakulti Bahasa dan Komunikasi, Universiti Sultan Zainal Abidin (UniSZA) dengan kerjasama Dewan Bahasa dan Pustaka telah mengambil inisiatif untuk memartabatkan bidang kesusasteraan Melayu dengan menganjurkan program Wacana Ilmuwan Negara bersama Sasterawan Negara yang tidak asing lagi iaitu Y.Bhg. Prof. Emeritus Dr. Muhammad Haji Salleh.

Program ini dianjurkan pada 16 September 2015 bertempat di Dewan Perdana, UniSZA dengan dihadiri oleh lebih 588 orang pelajar, pensyarah, pencinta seni dan bahasa serta masyarakat setempat. Selain bertujuan untuk memperkasakan bidang Kesusasteraan Melayu, program ini juga dianjurkan untuk menyalurkan dan menyebarluaskan ilmu pengetahuan berkaitan Kesusasteraan Melayu kepada para hadirin yang terdiri daripada pelbagai lapisan masyarakat dan bidang pendidikan.

Antara inti pati program ini adalah slot bicara bahasa oleh Yahya Ismail atau Pak Ya, deklamasi puisi nukilan Prof. Emeritus Dr. Muhammad Haji Salleh oleh para pelajar dari FBK UniSZA dan ulasan buku oleh Prof. Dr. Ding Choo Ming dan Zalina Abdul Aziz atau juga dikenali sebagai Ninot Aziz. Kemuncak program ini adalah majlis pelancaran buku Bridging the Past and the Present: A Festschrift Honouring Muhammad Haji Salleh dan syarahan perdana oleh Prof. Emeritus Dr. Muhammad Haji Salleh bertajuk Di Ambang Kesarjanaan: Pengalaman Sasterawan Negara.

Dalam syarahan beliau, Prof. Emeritus Dr. Muhammad Haji Salleh menyeru masyarakat untuk mencintai ilmu dan bahasa kerana menurut beliau suasana intelektual hanya boleh dibina melalui budaya membaca yang luas. Justeru, masyarakat perlu memiliki keinginan dan keghairahan untuk menimba ilmu dalam pelbagai bahasa melalui proses terjemahan yang dinamik dan terkini.

Menurut beliau lagi, walaupun dalam era globalisasi ini penggunaan bahasa Inggeris sangat penting, namun kepentingan menggunakan bahasa ibunda iaitu bahasa Melayu tidak boleh dipandang remeh oleh masyarakat kerana ia merupakan jati diri dan lambang kemajuan masyarakat Malaysia. Mengambil Jepun sebagai contoh, Prof. Emeritus Dr. Muhammad Haji Salleh turut menyarankan agar masyarakat tidak lupa akan tradisi ilmu dalam bidang Kesusasteraan Melayu kerana identiti masyarakat terletak pada ilmu ini.

Program Wacana Ilmuwan Negara ini berakhir pada jam satu petang dengan sesi autograf dan temu bual media bersama Sasterawan negara.

 

|| Galeri ||

Promosi Wacana Ilmuwan Negara: Kelantan.Fm