Artikel

Cetak

Multaqa al-Lughawiyin 2.0

Ditulis oleh Pentadbir.

multaqa

 

Para pelajar Ijazah Sarjana Muda Pengajian Bahasa Arab UniSZA telah mengadakan perjumpaan rasmi bersama para pensyarah Pusat Pengajian Bahasa Arab, Fakulti Bahasa dan Komunikasi, UniSZA. Program yang dinamakan Multaqa al-Lughawiyin 2.0 ini berlangsung pada 21 Oktober 2015 dan dihadiri oleh seramai 254 orang pelajar serta lima orang pensyarah. Seperti tahun sebelumnya, program ini diadakan di Dewan Auditorium, UniSZA.

Program wajib yang diadakan pada setiap tahun ini bertujuan untuk memperkenalkan para pensyarah kepada para pelajar baharu yang kini berada pada semester satu pengajian. Majlis ini telah dirasmikan oleh Timbalan Dekan (Akademik dan Prasiswazah) FBK, Y.Brs. Dr. Zulazhan Ab. Halim. Turut berada pada majlis ini dan menyampaikan ucapan kepada para hadirin ialah Ketua Pusat Pengajian Bahasa Arab, Y.Brs. Dr. Nurazan Mohmad Rouyan. Antara petikan ucapan beliau:

"Antara faktor yang mendorong kejayaan seseorang pelajar ialah dengan menzahirkan sikap yang baik dan beradab sesama insan, lebih- lebih lagi dengan Allah dan para guru."

Para pelajar turut disuntik dengan semangat untuk mendalami bahasa Arab, serta menggunakannya sebagai wadah untuk mendalami ilmu agama. Selain itu, majlis ini juga turut memberi peluang kepada para pelajar baharu untuk bersoal jawab dengan para pensyarah mengenai penawaran subjek-subjek dan sebarang permasalahan yang berkaitan dengan program pengajian. Program kali ini berlangsung dengan jaya lebih-lebih lagi dengan kehadiran para pelajar baharu yang sangat positif iaitu seramai 151 orang.

 

Berita oleh Muhammad Fitri bin Md. Isa (Pelajar BAS 5)

ll Galeri ll