Artikel

Cetak

Pertandingan Lakonan dan Boria Arab

Ditulis oleh Pentadbir.

lakonan

 

Para pelajar Ijazah Sarjana Muda Pengajian Bahasa Arab, FBK telah mengadakan Pertandingan Lakonan dan Boria Arab pada 29 Oktober 2015 bertempat di Dewan Perdana, UniSZA, Kampus Gong Badak. Pertandingan yang julung kali diadakan ini mendapat sambutan yang amat baik daripada para pelajar dan ia dihadiri oleh lebih daripada 280 orang untuk menyaksikan pertandingan ini.

Pertandingan ini terbahagi kepada dua kategori iaitu empat kumpulan menyertai pertandingan lakonan manakala empat kumpulan lagi menyertai pertandingan boria. Yang menariknya, juara bagi setiap kategori menerima Piala Pusingan Ketua Pusat Pengajian Bahasa Arab FBK.

Pertandingan ini dijalankan bermula dari pukul 8.30 pagi sehingga 4.30 petang. Bagi penghakiman pula, pertandingan ini telah diadili oleh empat orang juri iaitu Dr. Suzana Sulaiman, En. Mohammad Azizi Aziz, Pn. Shuhaida Hanim Mohamad Suhane dan En. Mohd Fauzi Abdul Hamid, masing- masing merupakan pensyarah dari Pusat Pengajian Bahasa Arab FBK.

Menurut pengarah program iaitu saudara Muhammad Yasin Azmin, pertandingan ini diadakan adalah untuk menarik minat para pelajar supaya menghidupkan bahasa dan budaya Arab di dalam universiti. Tambahnya lagi, program ini akan dijalankan pada setiap tahun sebagai satu aktiviti tahunan bagi para pelajar Ijazah Sarjana Muda Pengajian Bahasa Arab, FBK, UniSZA.

Majlis penutup pertandingan telah dirasmikan oleh Timbalan Dekan (Akademik dan Prasiswazah) FBK, Y.Brs. Dr. Zulazhan Ab. Halim. Pemenang bagi kategori lakonan disandang oleh kumpulan an-Nayyir yang seterusnya menjulang piala pusingan sebagai juara keseluruhan. Manakala juara bagi pertandingan boria disandang oleh kumpulan Infiru!. Syabas diucapkan kepada para pemenang.

Berita oleh Muhammad Fitri bin Md. Isa (Pelajar BAS 5)

 ll Galeri ll