Cetak

BELAJAR BAHASA ARAB DENGAN EZ-Arabic

Ditulis oleh Pentadbir.

ezarabic2

 

Pusat Pengajian Bahasa Arab, Fakulti Bahasa dan Komunikasi (FBK) telah menganjurkan program "Belajar Bahasa Arab Dengan EZ-Arabic" pada 27 Ogos 2016 dan 3 September 2016 bertempat di Makmal Bahasa, FBK. Program berbentuk Corporate Social Responsibility (CSR) ini melibatkan para pelajar darjah lima dari Sekolah Kebangsaan Tok Jembal pada 27 Ogos 2016dan Sekolah Kebangsaan Tanjung Gelam pada 3 September 2016.

Seramai 40 orang pelajar daripada setiap sekolah terlibat dalam program ini. Objektif utama penganjuran program ini adalah untuk memperkenalkan laman pembelajaran berasaskan teknologi iaitu EZ-Arabic. Pembangunan laman pembelajaran ini merupakan hasil daripada kajian geran penyelidikan RAGS daripada Kementerian Pendidikan Tinggi Malaysia yang diketuai oleh En. Mohd Firdaus bin Yahaya, pensyarah di Pusat Pengajian Bahasa Arab, FBK.

Dalam program ini, para pelajar didedahkan dengan kandungan laman pembelajaran EZ-Arabic serta tatacara penggunaan laman bagi membantu mereka menguasai bahasa Arab dengan mudah. Penjelasan tentang penggunaan laman EZ-Arabic dijalankan secara hands-on bagi memberi peluang kepada pelajar menggunakan sendiri laman tersebut. Hal ini secara tidak langsung dapat memupuk semangat pembelajaran kendiri dalam diri pelajar kerana mereka boleh memanfaatkan laman EZ-Arabic di rumah masing-masing.

Rata-rata pelajar yang mengikuti program ini melahirkan rasa seronok dalam mempelajari bahasa Arab dengan menggunakan laman pembelajaran EZ-Arabic. Para pelajar turut menyatakan bahawa mereka akan menggunakan laman EZ-Arabic di rumah bagi menambah pengetahuan tentang bahasa Arab.

 ll Galeri ll

  

 

 

EZ-BH

Keratan akhbar Berita Harian (8 September 2016)