Artikel

Cetak

MUKHAYYAM LUGHAWI II ERAT KERJASAMA UNISZA DAN UNIVERSITI FATONI

Ditulis oleh Pentadbir.

LOGOMU

Mukhayyam Lughawi atau Perkhemahan Bahasa merupakan satu subjek wajib berkredit yang perlu diambil oleh para pelajar Ijazah Sarjana Muda Pengajian Bahasa Arab (Dengan Kepujian) dari Fakulti Bahasa dan Komunikasi, UniSZA. Penawaran subjek ini merupakan antara identiti tersendiri yang membezakan program Ijazah Pengajian Bahasa Arab di UniSZA dengan Universiti Awam lain di Malaysia. Pelajar dikehendaki mengambil subjek Mukhayyam Lughawi sebanyak dua kali sepertimana termaktub dalam struktur penawaran program pengajian.

Bagi Mukhayyam Lughawi II yang pertama kali diadakan pada semester pengajian pertama sesi 2016/2017 ini, pelaksanaan subjek ini melibatkan penyertaan daripada pelajar dari Universiti Fatoni, Thailand seramai 20 orang serta empat orang kakitangan akademik. Subjek Mukhayyam Lughawi II ini melibatkan penganjuran aktiviti-aktiviti berorientasikan permainan bahasa Arab. Berbeza dengan subjek Mukhayyam Lughawi I, untuk subjek Mukhayyam Lughawi II ini fokus diberikan kepada penganjuran aktiviti kepada kelompok masyarakat khususnya golongan pelajar sekolah dan orang awam untuk mengenali, mempelajari, mencintai dan mendapat pendedahan tentang bahasa al-Quran.Sepertimana yang digariskan dalam hasil pembelajaran subjek, Mukhayyam Lughawi II merupakan wadah bagi pelajar untuk merancang dan menganjurkan aktiviti bahasa Arab berdasarkan pengalaman pembelajaran yang dimiliki. Selain itu, kursus ini juga menjadi medan untuk pelajar mengenal pasti kebolehan diri serta menerapkan nilai-nilai murni dalam amalan profesional dan interaksi sosial. Mukhayyam Lughawi II juga menyediakan ruang kepada pelajar untuk membina kesedaran tentang sikap kendiri yang positif, kreatif dan inovatif dalam melaksanakan sesuatu perancangan.

 

Mukhayyam Lughawi II ini telah berlangsung selama empat hari bermula pada 3-6 November 2016. Pelbagai aktiviti bahasa Arab telah dijalankan melibatkan penyertaan daripada para pelajar sekolah rendah dan masyarakat awam. Aktiviti-aktiviti ini telah dijalankan di beberapa buah tempat seperti Sekolah Kebangsaan IPG Kampus Dato' Razali, Kuala Nerus dan Masjid Kampung Butut, Kuala Berang serta di UniSZA Kampus Gong Badak. Antara nama aktiviti yang dijalankan seperti Raudhah al-Lughah (Taman Bahasa), Namrah bi al-'Arabiyyah (Kami Seronok Berbahasa Arab) dan Uhibbu al-Lughah al-'Arabiyyah (Saya Suka Bahasa Arab).

Majlis penutup Mukhayyam Lughawi II telah berlangsung pada 6 November 2016 bertempat di Auditorium Perpustakaan UniSZA, Kampus Gong Badak. Majlis ini dihadiri oleh Timbalan Dekan Akademik dan Siswazah FBK, Dr. Zulazhan Ab. Halim, Ketua Jabatan Bahasa Arab, Fakulti Bahasa dan Sains Kemasyarakatan, Universiti Fatoni, Dr. Ibrahem Tehhae, Ketua Pusat Pengajian Bahasa Arab FBK, En. Mohd Fauzi Abdul Hamid, Pengarah Mukhayyam Lughawi II, En. Mohd Shahrizal Nasir, serta para pensyarah Pusat Pengajian Bahasa Arab, FBK dan Universiti Fatoni. Dalam ucapan penutup, Dr. Zulazhan mengalu-alukan jalinan kerjasama lebih luas antara FBK, UniSZA dan Jabatan Bahasa Arab, Universiti Fatoni melibatkan penyelidikan, pengajaran dan penyeliaan pelajar siswazah.

Dr. Ibrahem Tehhae pula dalam ucapan balasnya merakamkan jutaan terima kasih kepada FBK dan UniSZA atas peluang menyertai Mukhayyam Lughawi II kali ini. Beliau dan para pelajar dari Universiti Fatoni dapat mempelajari banyak perkara baharu sepanjang penganjuran mukhayyam ini khususnya melibatkan kaedah pengajaran bahasa Arab melalui permainan bahasa kepada pelajar sekolah dan orang awam. Mukhayyam Lughawi II merupakan satu platform yang dapat mengeratkan hubungan antara UniSZA dan Universiti Fatoni dalam usaha meningkatkan tahap penguasaan bahasa Arab dalam kalangan pelajar di kedua-dua buah universiti.

 

ll Galeri ll