Cetak

Pertandingan Debat Bahasa Arab

Ditulis oleh Pentadbir.

DEBAT

 

Pada 1-3 Disember 2016, Unit Bahasa Arab Persatuan Mahasiwa Fakulti Bahasa dan Komunikasi telah mengadakan program Pertandingan Debat Piala Ketua Pusat Pengajian Bahasa Arab buat kali pertama yang berlangsung di Blok Akademik, UniSZA Kampus Gong Badak. Program ini melibatkan 19 orang peserta yang diwakili oleh Pelajar ISM Pengajian Bahasa Arab semester tiga dan lima. Pertandingan ini dijalankan dengan melalui tiga pusingan saringan, satu peringkat separuh akhir dan diakhiri dengan peringkat akhir.

Program ini bertujuan melahirkan mahasiswa/wi yang mampu mempraktikkan Bahasa Arab sebagai bahasa kedua dengan lancar dan teratur, mengasah kemahiran komunikasi mahasiswa/wi dalam aktiviti-aktiviti luar kuliah serta mengembangkan penggunaan Bahasa Arab dalam kalangan mahasiswa/wi ISM Pengajian Bahasa Arab. Di samping itu, program ini juga bertujuan untuk mencari bakat baru dalam dunia debat di UniSZA sebagai pendebat yang akan meneruskan legasi debat yang sedia ada.

Seterusnya, program ini sudah tentu mampu memberikan impak yang besar kepada UniSZA. Melalui program ini, UniSZA akan menjadi sebuah universiti yang mempunyai persatuan yang telah berjaya memastikan kelab dan persatuan di bawah Pejabat Timbalan Naib Canselor HEPA UniSZA aktif dengan persatuan yang telah diwujudkan. Dalam masa yang sama UniSZA mampu melahirkan mahasiswa/i yang mampu berkomunikasi dalam bahasa Arab dengan baik.

Perasmian penutup diadakan di Dewan Auditorium, Bangunan Akademik, UniSZA Kampus Gong Badak pada 3 Disember dan dihadiri oleh dua tetamu istimewa iaitu Timbalan Dekan (Akademik dan Siswazah) FBK, Y.Brs. Dr. Zulazhan Ab. Halim dan Ketua Pusat Pengajian Bahasa Arab, Encik Mohd Fauzi Abdul Hamid. Y.Brs. Dr. Zulazhan turut menyatakan dalam ucapannya agar pertandingan debat ini diteruskan serta dibuka penyertaannya kepada fakulti-fakulti lain. Majlis penutup disempurnakan Encik Mohd Fauzi Bin Abdul Hamid dan berakhir pada pukul 2.00 petang.

Program ini berjalan dengan lancar sepertimana yang dirancang secara rapi melalui usaha ahli jawatankuasa pelaksana dengan kerjasama semua pensyarah dan para staf fakulti. Alhamdulillah, program ini mendapat maklum balas yang baik serta memberi impak yang positif daripada semua pihak dan diharapkan program seperti ini dapat dijalankan pada setiap tahun akan datang.

 

ll Galeri ll

 

Berita: Wan Mohd Syazwan Ab. Rahman

Gambar: Muhammad Aslam Zakaria