Artikel

Cetak

Solat Hajat Menghadapi Peperiksaan

Ditulis oleh Pentadbir.

sk

 

Pada 15 Disember 2016, Persatuan Mahasiswa Fakulti Bahasa dan Komunikasi ( FALCOM ) telah menganjurkan Solat Hajat Perdana bagi menghadapi peperiksaan akhir semester 1 sesi 2016/17 yang bakal tiba. Majlis ini berlangsung pada jam 6.30 petang di Dewan Perdana, UniSZA dan dihadiri oleh pensyarah-pensyarah FBK, staf fakulti dan mahasiswa/wi FBK yang terdiri daripada mahasiswa/wi ISM Bahasa Inggeris dengan Komunikasi (BEN), ISM Pengajian Bahasa Arab (BAS) dan Diploma Pengajaran Bahasa Inggeris sebagai Bahasa Kedua (TESL). 

Majlis dimulakan dengan alunan zikir oleh pelajar-pelajar dan diteruskan dengan solat Maghrib berjemaah yang dipimpin oleh Mohamad Ali Ahsan bin Ali Atma, pelajar BEN. Seterusnya, majlis diteruskan dengan solat hajat yang dipimpin oleh pensyarah Pusat Pengajian Bahasa Arab, Ustaz Mohd Shahrizal bin Nasir. Suasana menjadi hening di Dewan Perdana dengan rintihan doa yang dipanjatkan agar diberikan kejayaan yang cemerlang di dunia dan di akhirat, juga semoga urusan peperiksaan berjalan dengan lancar dan mudah.
Majlis diteruskan lagi dengan sesi diskusi ilmiah yang disampaikan oleh Ustaz Mohd Shahrizl bin Nasir. Beliau menyampaikan nasihat yang sangat berharga dan memberi suntikan semangat kepada mahasiswa/wi FBK agar terus berusaha untuk mencapai kecemerlangan tanpa ada rasa sifat putus asa. Seusai diskusi llmiah, majlis diteruskan lagi dengan solat Isyak berjemaah yang diimamkan oleh pelajar ISM Pengajian Bahasa Arab, Wan Ahmad Azizullah bin Wan Omar dan beliau telah membaca doa qunut nazilah pada rakaat terakhir.

 

Majlis kemudian diserikan lagi dengan ucapan daripada wakil FALCOM iaitu saudara Muhammad Athari bin Basir merangkap Timbalan Presiden 1, FALCOM. Beliau menzahirkan rasa gembira kerana dapat mengadakan majlis seperti ini yang dihadiri oleh pensyarah, staf fakulti dan mahasiswa/wi FBK sepertimana yang terdapat dalam objektif FALCOM iaitu menjadikan FALCOM sebagai medium penyatuan mahasiswa/wi Fakulti Bahasa dan Komunikasi.

Tidak dilupakan juga ucapan daripada Timbalan Dekan Penyelidikan dan Pembangunan FBK, Dr. Kamariah binti Yunus. Beliau memulakan ucapan dengan kata-kata semangat agar seluruh mahasiswa/wi yang bakal menduduki peperiksaan sentiasa bersemangat untuk menghadapinya dan melebihkan ruang waktu untuk mendekatkan diri kepada Allah SWT. Beliau juga menyeru supaya sentiasa menjaga hubungan dengan Allah SWT dan hubungan sesama manusia.

Majlis diakhiri dengan penerangan serba sedikit tentang peperangan di Aleppo oleh Saudari Najaa binti Nudin dan Saudari Sakinatul Khaulah binti Mohd Naim.

 

ll Galeri ll

 

Berita: Maznum binti Arifin 

Gambar: Muhammad Farhan bin Abd Ghafar