طباعة

Bahan Bantuan Pembelajaran Bahasa Arab Berasaskan Teknologi dan Multimedia

كتب بواسطة: Pentadbir.

TEKNOLOGI

 

Bidang Bahasa Arab perlu bergerak selari dengan perkembangan teknologi semasa. Proses pengajaran dan pembelajaran bahasa Arab perlu memanfaatkan pelbagai bahan berasaskan teknologi dan multimedia bagi melahirkan pelajar yang celik IT dalam arus kepesatan teknologi masa kini. Menyedari hakikat ini, Pusat Pengajian Bahasa Arab, Fakulti Bahasa dan Komunikasi (FBK) telah menganjurkan program "Pembelajaran Bahasa Arab Berasaskan Teknologi Dan Multimedia" pada 17 November 2016.

Program ini telah berlangsung di Makmal Komputer, Blok A, Pusat Teknologi Maklumat, UniSZA dan dikendalikan oleh penceramah jemputan dari Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM), iaitu Prof. Madya Dr. Muhammad Sabri Sahrir. Beliau merupakan seorang pensyarah bidang Teknologi Pendidikan Bahasa Arab yang banyak menghasilkan produk inovasi pembelajaran bahasa Arab serta memenangi banyak pingat dalam pertandingan inovasi yang disertainya sama ada di peringkat nasional mahupun antarabangsa.

Terdapat banyak bahan-bahan pembelajaran berasaskan teknologi yang telah dikongsikan kepada para pelajar yang terdiri daripada kumpulan pelajar tahun akhir Ijazah Sarjana Muda Pengajian Bahasa Arab (Dengan Kepujian), FBK. Antaranya Padlet, Tes Teach, Kahoot, Socrative, Poll Everywhere, Powtoon dan beberapa lagi. Semua ruang pembelajaran yang dikongsikan dalam program ini dapat dijadikan medium kepada pelajar untuk meningkatkan mutu kemahiran berbahasa Arab masing-masing. Program yang bermanfaat seperti ini akan diadakan pada masa-masa akan datang agar para pelajar mendapat pendedahan yang luas mengenai bahan-bahan bantuan bagi proses pembelajaran bahasa Arab.

 

ll Galeri ll