Print

MUKHAYYAM LUGHAWI 1, 2017

Written by Pentadbir.

MUKAHYYK

 

Pusat Pengajian Bahasa Arab (PPBA), Fakulti Bahasa dan Komunikasi telah menganjurkan Perkhemahan Bahasa I (Mukhayyam Lughawi I) kali ke-3 bertempat di UniSZA Kampus Gong Badak. Mukhayyam Lughawi yang diadakan selama seminggu bermula pada 15 hingga 21 Januari 2017 bertujuan meningkatkan kemahiran berbahasa iaitu kemahiran membaca, menulis, mendengar dan bertutur dalam kalangan pelajar.

Mukhayyam Lughawi ini merupakan subjek teras yang wajib diambil oleh para pelajar Ijazah Sarjana Muda Pengajian Bahasa Arab (Dengan Kepujian) pada semester empat. Pada kali ini, seramai 137 orang pelajar menjadi peserta dan turut melibatkan para pensyarah PPBA yang bertindak sebagai fasilitator dan hakim bagi aktiviti yang dijalankan. Penganjuran mukhayyam ini turut dibantu oleh jawatankuasa khas yang terdiri daripada beberapa orang pelajar ISM Pengajian Bahasa Arab semester lima.

 

Semua pensyarah dan pelajar yang terlibat diwajibkan berkomunikasi dalam bahasa Arab sepanjang Mukhayyam Lughawi diadakan dengan tema "Hidup Mulia dengan Bahasa al-Quran". Program ini berlangsung di Dewan Perdana dengan penganjuran pelbagai aktiviti berbahasa yang menarik seperti Ma Ahsana Fariqana!, Unshudah al-Nahw, Jawlah Ibtikariyyah, Takhmin al-Jumal, Rehlah al-Sayyad, Man Ana? dan banyak lagi.

Majlis penutup Mukhayyam Lughawi ini telah disempurnakan oleh Dekan Fakulti Bahasa dan Komunikasi, Y.Bhg. Prof. Dato' Dr. Mohamed Anwar Omar Din. Dalam ucapannya pada majlis tersebut, beliau menyokong sepenuhnya penganjuran Mukhayyam Lughawi yang telah dijayakan oleh PPBA dan beliau juga mencadangkan agar program ini turut melibatkan komuniti luar pada masa akan datang.

Majlis penutup turut dihadiri oleh Timbalan Dekan Akademik dan Siswazah FBK, Dr. Zulazhan Ab. Halim, Ketua Pusat Pengajian Bahasa Arab, Encik Mohd Fauzi Abdul Hamid, Ketua Pusat Pengajian Bahasa Inggeris, Encik Ahmad Taufik Hidayah Abdullah dan para pensyarah Pusat Pengajian Bahasa Arab, FBK. Rata-rata pelajar memberi respons yang positif terhadap penganjuran Mukhayyam Lughawi I ini kerana mendapat banyak manfaat berguna bagi tujuan meningkatkan tahap penguasaan bahasa Arab mereka.

 

ll Galeri ll

Berita: Ummi 'Ayuni binti Zulkefli

Nada binti Mohamed