Print

Refleksi Latihan Industri dan Pelancaran Hari Bersama Mentor PPBA, FBK

Written by Pentadbir.

ijal

 

Satu pelancaran program "Yaumun Ma'a al-Mursyid" atau "Hari Bersama Mentor" telah berlangsung dengan jayanya pada Khamis, 16 Februari 2017. Pada waktu yang sama , telah diadakan juga satu slot Refleksi Latihan Industri yang telah disampaikan oleh beberapa orang pelajar ISM Pengajian Bahasa Arab Semester 8. Program yang julung kali diadakan ini adalah anjuran Pusat Pengajian Bahasa Arab (PPBA) Fakulti Bahasa dan Komunikasi (FBK) Universiti Sultan Zainal Abidin (UniSZA) dengan kerjasama Unit Bahasa Arab, Persatuan Mahasiswa FBK (FALCOM).

Program yang bertempat di Dewan Perdana, Universiti Sultan Zainal Abidin (UniSZA) ini telah disertai oleh para pensyarah PPBA serta semua pelajar Ijazah Sarjana Muda Pengajian Bahasa Arab (BAS).

Majlis bermula dengan ketibaan tetamu kehormat yang terdiri daripada Dekan FBK, YBrs. Dr. Zulazhan bin Ab. Halim, Ketua Pusat Pengajian Bahasa Arab, Ustaz Mohd Fauzi bin Abdul Hamid serta para pensyarah PPBA. Seterusnya majlis diteruskan dengan alunan bacaan ayat suci Al-Quran oleh pelajar BAS Semester 4, iaitu saudara Mohd Amin Fahimi bin Mohd Termizi.

 

Program dimulakan dengan slot Refleksi Latihan Industri yang disampaikan oleh beberapa orang pelajar semester akhir yang terpilih. Slot ini diadakan untuk memberi peluang kepada para pelajar semester lapan berkongsi pengalaman serta info penting sepanjang menjalankan tempoh praktikal pada semester yang lalu kepada para pelajar BAS yang lain khususnya bagi pelajar semester enam yang bakal menjalani tempoh Latihan Industri pada semester kali ini. Antara tempat Latihan Industri yang diikuti oleh para pelajar BAS adalah Pusat Pengajian Arab Mikro, Kolej INSANIAH, Universiti Sains Islam Malaysia (USIM), Pejabat Agama, Pejabat Mufti dan lain-lain. Perkongsian para pelajar ini memberi input yang berguna sebagai panduan dan persediaan kepada mereka.

Selepas berakhirnya slot refleksi tersebut, program diteruskan dengan taklimat daripada Ketua Unit Bahasa Arab FALCOM , Saudara Wan Mohd Syazwan bin Ab. Rahman mengenai Unit Bahasa Arab FALCOM. Beliau juga telah memperkenalkan barisan kepimpinan Unit Bahasa Arab serta program-program yang dianjurkan seperti pengajian kitab, penerbitan buletin al-Qalam dan sebagainya.

Seterusnya majlis diteruskan dengan agenda utama program iaitu pelancaran pogram "Yaumun Ma'a al-Mursyid" yang telah dimulai dengan gimik perasmian daripada beberapa orang pelajar dan disempurnakan oleh Dekan FBK, YBrs. Dr. Zulazhan bin Ab. Halim. Dalam ucapan beliau semasa merasmikan program ini, beliau menyokong sepenuhnya penganjuran program " Yaumun Ma'a al-Mursyid" dan berharap program ini akan dijalankan secara berterusan serta mengharapkan kerjasama daripada semua pihak dalam menjayakan program ini.

Menurut Ketua Pusat Pengajian Bahasa Arab, Ustaz Mohd Fauzi bin Abdul Hamid, Program "Yaumun Ma'a al-Mursyid" ini adalah bertujuan untuk memberi peluang kepada para pelajar untuk mengukuhkan lagi tahap penguasaan bahasa Arab di samping dapat meluangkan masa bersama mentor masing-masing . Pihak Pusat Pengajian Bahasa Arab (PPBA) telah menetapkan setiap hari Khamis merupakan "Hari Bersama Mentor" bagi semua Pelajar BAS secara rasminya. Beberapa modul telah disusun bagi pelajar-pelajar pada setiap minggu. Semua pelajar dilihat memberikan respon yang positif terhadap pelancaran program ini.

 

ll Galeri ll

 

Berita oleh: Idayu Nur Illyana binti Daud (BAS 6)

Nur Izzati binti Rosdi (BAS 6)