Cetak

BENGKEL PEMANFAATAN TEKNOLOGI DALAM PEMBELAJARAN BAHASA ARAB

Ditulis oleh Pentadbir.

PEMNAFFATT

Bengkel Pemanfaatan Teknologi telah dianjurkan dengan jayanya pada 30 September 2017. Program ini dianjurkan oleh Pusat Pengajian Bahasa Arab (PPBA), Fakulti Bahasa dan Komunikasi. Program yang bertempat di makmal komputer perpustakaan ini telah disertai oleh 60 orang pelajar Ijazah Sarjana Muda Pengajian Bahasa Arab semester tujuh.

Majlis bermula dengan ketibaan tetamu kehormat yang terdiri daripada Dr. Khamimi Zainuddin (panel jemputan), Ketua Pusat Pengajian Bahasa Arab, Ustaz Mohd Fauzi Bin Abdul Hamid serta para pensyarah PPBA. Majlis diteruskan dengan ucapan aluan daripada Ustaz Mohd Shahrizal bin Nasir selaku pengarah program. Beliau mengalu-alukan kehadiran Dr. Khamimi Zainuddin dalam ucapannya. Dr. Khamimi memulakan slot dengan sesi soal jawab bersama para pelajar. Beliau menggunakan paparan slide untuk menarik minat pelajar. Antara soalan yang diajukan ialah "Kenapa anda perlu belajar bahasa Arab?" dan "Kenapa anda memilih kos Bahasa Arab di UniSZA?". Para peserta juga diajar menggunakan aplikasi permainan Kahoot. Kemudian, beliau mengajukan lapan soalan kuiz menerusi aplikasi yang telah dibina oleh beliau sendiri.

Majlis penutup bengkel ini telah disempurnakan oleh Ustaz Mohd Fauzi bin Abdul Hamid. Beliau menyokong sepenuhnya penganjuran Bengkel Pemanfaatan Teknologi dalam Pembelajaran Bahasa Arab ini dan beliau juga mencadangkan agar program ini dapat dilaksanakan lagi pada masa akan datang.

Rata-rata peserta memberi respon yang positif terhadap penganjuran bengkel ini. Selain daripada dapat mempelajari bahasa Arab secara menarik dan santai, peserta juga dapat mendalami ilmu teknologi berkomputer. Banyak manfaat yang diperoleh dalam bengkel ini bagi meningkatkan tahap penguasaan bahasa Arab peserta. Sebelum majlis berakhir, Dr. Khamimi sempat memberi peluang kepada peserta untuk meninggalkan komen serta perkenalan diri di laman sesawang milik beliau.

 

ll Galeri ll