Articles

Print

MULTAQA AL-LUGHAWIYYIN 4.0

Written by Pentadbir.

MULT

Pada 25 Oktober 2017, bermula jam 8.00 malam telah berlangsungnya program Multaqa Al-Lughawiyyin 4.0 yang dianjurkan oleh mahasiswa Ijazah Sarjana Muda Pengajian Bahasa Arab, Fakulti Bahasa dan Komunikasi, UniSZA. Program ini diadakan di Dewan Kuliah Utama, UniSZA Kampus Gong Badak dan dihadiri oleh dua tetamu istimewa iaitu Dekan Fakulti Bahasa dan Komunikasi, YBrs. Dr. Zulazhan Ab. Halim dan Ketua Pusat Pengajian Bahasa Arab, Encik Mohd Fauzi Bin Abdul Hamid. Majlis ini juga turut diserikan dengan kehadiran para pensyarah PPBA.

Program ini merupakan satu perjumpaan antara para pensyarah Pusat Pengajian Bahasa Arab dengan para mahasiswa Ijazah Sarjana Muda Pengajian Bahasa Arab. Program yang diadakan setiap tahun ini bertujuan menyemarakkan lagi semangat cintakan bahasa arab di samping mengeratkan lagi hubungan antara mahasiswa dan pensyarah. Antara aktiviti yang diadakan pada program kali ini ialah persembahan nasyid, kata-kata semangat dan nasihat daripada para pensyarah, gimik perasmian pelancaran TV Al-Qalam dan penyampaian hadiah kepada para pemenang pertandingan kuiz Buletin Al-Qalam dan Pertandingan Poster Sempena Hari Bahasa Arab Sedunia. Pelajar ISM Pengajian Bahasa Arab semester 3 turut menyediakan satu slot khas bagi memperingati arwah Anas, pelajar semester 3 yang telah dijemput Illahi pada tanggal 30 September 2017. Program ini telah dirasmikan oleh Dekan Fakulti Bahasa dan Komunikasi, YBrs. Dr. Zulazhan Ab. Halim. Majlis berakhir pada jam 11.00 malam.

Program dapat dilaksanakan dengan jayanya oleh barisan ahli jawatankuasa pelaksana yang sangat komited dengan tugas masing-masing. Tidak dilupakan juga kerjasama dan sokongan daripada semua pensyarah dan staf fakulti dalam menjayakan program ini. Alhamdulillah, program ini mendapat respon yang positif daripada semua pihak. Semoga program yang baik ini dapat diteruskan oleh legasi Pelajar ISM Pengajian Bahasa Arab seterusnya, pada setiap tahun akan datang.

 

ll Galeri ll