Artikel

Cetak

KEMBARA FATONI

Ditulis oleh Pentadbir.

 

PATTANI

Seramai 19 orang pelajar ISM Bahasa Inggeris dan ISM Bahasa Arab telah mengikuti program antarabangsa 'Pattani Retweet: Youth Tourist Promotion' anjuran Prince of Songkla University (PSU), Thailand. Delegasi ini telah diketuai oleh saudara Muhammad Farhan bin Abd Ghafar, dan diiringi oleh Puan Mahani binti Mohamad.

Program yang berlangsung dari 19 - 25 Ogos 2017 ini bertujuan mendedahkan para pelajar dari kedua-dua universiti mengenai tempat-tempat perlancongan yang menarik sekitar wilayah selatan Thailand, terutama di Pattani. Ia juga merupakan satu langkah proaktif pihak pengajur bagi mengubah mentaliti masyarakat luar terhadap Pattani dan sekitarnya, di samping mendalami budaya negara Thailand serta sejarah kewujudan negara tersebut.

Pelbagai aktiviti telah dilaksanakan, termasuklah aktiviti sukaneka pantai, lawatan ke muzium, serta satu sesi khas, iaitu pembentangan kreatif yang telah ditugaskan kepada setiap kumpulan bagi berkongsi pengalaman lawatan masing-masing. Semua peserta juga berpeluang untuk menjadi sebahagian daripada pasukan sukarelawan 'Trash Hero Pattani' yang merupakan satu inisiatif terbaik bagi memelihara alam sekitar terutamanya melibatkan sekitar pantai-pantai di Pattani. Lebih menarik lagi, bahan buangan yang telah dikumpul akan diproses untuk menjadi produk yang mempunyai nilai komersial tinggi seperti selipar dan beg tangan.

Program ini secara keseluruhannya telah berjaya merapatkan hubungan antara pihak UniSZA dan PSU. Realitinya, banyak manfaat yang diperoleh oleh para pelajar yang mengikuti program ini khususnya melibatkan penglibatan mereka dalam komuniti antarabangsa. Semoga program ini yang merupakan wadah kerjasama yang baik antara dua buah universiti dapat diteruskan lagi pada masa akan datang.

 

 

ll Galeri ll