Cetak

Penilaian Akreditasi Penuh BAS

Ditulis oleh Pentadbir.

MQA

 

Fakulti Bahasa dan Komunikasi (FBK), Universiti Sultan Zainal Abidin (UniSZA) telah menerima kunjungan Panel Penilai Agensi Kelayakan Malaysia (MQA) untuk Penilaian Akreditasi Penuh. Kunjungan tersebut telah diadakan pada 19 – 20 Oktober 2017 dan proses penilaian berlangsung di Bilik Mesyuarat, FBK.

Penilaian ini mengambil masa selama dua hari itu melibatkan program pengajian yang ditawarkan oleh FBK iaitu Ijazah Sarjana Muda Pengajian Bahasa Arab (Dengan Kepujian). Penilaian tersebut dijalankan untuk mendapatkan pengiktirafan dan kelayakan akreditasi penuh daripada pihak MQA.

Proses penilaian yang dijalankan meliputi aspek pengauditan dan penelitian secara terperinci terhadap dokumen-dokumen asal program yang terlibat. Selain itu, lawatan penilaian ini juga merangkumi penilaian terhadap proses pengajaran, pembelajaran, pemantauan dan pemeriksaan terhadap premis-premis pengajaran dan pembelajaran di UniSZA seperti kelas dan dewan kuliah, makmal komputer, perpustakaan dan sebagainya. Tidak ketinggalan juga, beberapa temubual telah dijalankan dengan pihak Pengurusan Fakulti, para pensyarah Pusat Pengajian Bahasa Arab dan pelajar yang mewakili FALCOM serta pelajar yang mewakili setiap kemasukan.

Ahli Panel MQA yang terlibat dalam Lawatan Penilaian Akreditasi Penuh ialah Prof. Madya Dr. Akmal Khuzairy bin Abd. Rahman (UIAM), Prof. Madya Dr. Noor Azizi bin Ismail (USIM), dan Puan Zakiah binti Abdul Wahab (MQA).

Semoga semua urusan melibatkan pengiktirafan dan kelayakan akreditasi penuh daripada pihak MQA ini berjalan dengan lancar dan disusuli dengan keputusan yang baik.

 

ll Galeri ll