Cetak

SEMBARA 2017

Ditulis oleh Pentadbir.

sembara

 

Fakulti Bahasa dan Komunikasi, UniSZA telah menganjurkan Seminar Kebangsaan Bahasa dan Kesusasteraan Arab 2017 (SEMBARA 2017) pada hari Sabtu, 28 Oktober 2017, bertempat di Bangunan Akademik, UniSZA Kampus Gong Badak.

Antara objektif penganjuran SEMBARA 2017 ialah untuk membuka peluang kepada para akademia dan penyelidik bidang bahasa dan kesusasteraan Arab untuk berkongsi dengan peserta seminar tentang hasil kajian berkaitan bahasa dan kesusasteraan Arab. Selain itu, para peserta turut berpeluang meneliti isu dan cabaran terkini berkaitan bahasa Arab khususnya dalam konteks di Malaysia serta mencari alternatif yang signifikan dalam mendepani isu dan cabaran tersebut.

Sebanyak 88 kertas kerja telah dibentangkan dalam SEMBARA 2017 melibatkan para pensyarah dan penyelidik dari Universiti Awam dan swasta. Sesi pembentangan ucaptama pula telah disampaikan oleh tiga pakar bidang bahasa Arab iaitu, Prof. Dr. Kamarul Shukri Mat Teh dengan kertas kerja bertajuk "Orientasi Motivasi Pembelajaran Bahasa Arab: Antara Impian dan Paradoks", manakala Dekan Fakulti Bahasa dan Komunikasi, UniSZA, Dr. Zulazhan Ab. Halim menyampaikan ucaptama bertajuk "Sumbangan KUSZA dan UniSZA dalam Memartabatkan Bahasa Arab". Pembentangan ucaptama ketiga pula disampaikan oleh Timbalan Rektor (Penyelidikan dan Inovasi), Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM) dengan tajuk kertas kerjanya "Dimensi Baharu dalam Pengajaran Puisi Arab".

Majlis perasmian SEMBARA 2017 telah disempurnakan oleh Naib Canselor UniSZA, Prof. Dato' Dr. Ahmad Zubaidi A. Latif. Dalam ucapan perasmiannya, Prof. Dato' Dr. Ahmad Zubaidi menyarankan agar pengajaran dan pembelajaran bahasa Arab perlu diperkasakan sesuai dengan ledakan dunia teknologi masakini dalam era Revolusi Perindustrian 4.0. Beliau turut menyatakan bahawa pemilihan bahasa Arab sebagai bahasa al-Quran pastinya mempunyai hikmah besar yang perlu difahami dan dimanfaatkan. Majlis perasmian turut dihadiri oleh Dekan FBK, Dr. Zulazhan Ab. Halim, Ketua Pusat Pengajian Bahasa Arab, FBK, En. Mohd Fauzi Abdul Hamid dan Pengarah SEMBARA 2017, En. Mohd Shahrizal Nasir.

Pada majlis perasmian SEMBARA 2017 tersebut, Naib Canselor UniSZA turut melancarkan sebuah buku yang dihasilkan oleh para pensyarah Pusat Pengajian Bahasa Arab, FBK, berjudul "Penataran Pendidikan Bahasa Arab Di Peringkat Pengajian Tinggi". Sesi pelancaran buku ini diadakan dengan kerjasama Penerbit UniSZA.

Penganjuran SEMBARA 2017 merupakan satu kejayaan bagi FBK yang buat pertama kalinya menganjurkan seminar berkaitan bahasa Arab sebagai penganjur utama. Rata-rata para peserta menyatakan rasa berpuas hati dengan penganjuran seminar ini dan berharap agar SEMBARA dapat diteruskan pada masa akan datang dengan penyertaan lebih ramai pembentang kertas kerja serta dianjurkan pada peringkat antarabangsa.

 

ll Galeri ll