Cetak

SISWA BOKAMPONG

Ditulis oleh Pentadbir.

BOKAMPONG

 

Pada 3-5 November 2017, pimpinan Persatuan Mahasiswa Fakulti Bahasa dan Komunikasi (FALCOM) sesi 2016/17 telah menganjurkan program 'Siswa Bokampong' yang bertempat di Kampung Simpang Gelami, Kuala Klawang, Negeri Sembilan. Program ini telah mendapat tajaan daripada enam agensi iaitu Baitulmal Negeri Sembilan, JBR Bundle, Rampai Caterer, Agensi Sukarelawan Asas Sejahtera, Pejabat Timbalan Naib Canselor Hal Ehwal Pelajar & Alumni, UniSZA dan Fakulti Bahasa dan Komunikasi (FBK).

Menurut pengarah program 'Siswa Bokampong', Saudara Muhammad Athari Basir, program ini merupakan satu program kemasyarakatan yang memberi fokus terhadap bidang utama FBK, iaitu pembelajaran bahasa Inggeris dan bahasa Arab. Program ini disertai oleh 40 mahasiswa FBK dengan majoriti daripada mereka merupakan pelajar tahun akhir.

Menurut Saudara Athari, beliau mensasarkan mahasiswa tahun akhir sebagai peserta program ini supaya mereka dapat mengaplikasikan kemahiran yang telah mereka pelajari sepanjang pengajian di FBK bersama kelompok masyarakat awam.

Program ini dibahagikan kepada dua aktiviti utama, iaitu aktiviti kemasyarakatan dan aktiviti pemantapan bahasa. Dalam aktiviti kemasyarakatan, mahasiswa berpeluang tinggal bersama keluarga angkat dan melakukan pelbagai aktiviti bersama mereka seperti Tarik Ongap (Senam Pagi), Sukan Rakyat dan makan bersama.

Manakala, dalam aktiviti pemantapan bahasa pula, FALCOM telah bekerjasama dengan SMK Dato' Undang Syed Ali Al-Jufri (SMK DUSAJ), Kuala Klawang, dalam melaksanakan modul-modul aktiviti pembelajaran bahasa Inggeris dan bahasa Arab dengan tema 'Suko Bahaso Ko Tak dan Ekau Eden'. Aktiviti ini melibatkan 150 orang pelajar asrama Tingkatan Satu hingga Tingkatan Lima SMK DUSAJ.

Selain itu, sepanjang program 'Siswa Bokampong' ini, mahasiswa FBK juga berpeluang untuk merasai penerapan budaya dan adat Negeri Sembilan seperti makanan yang pedas serta suasana kehidupan di kampung berkenaan.

Majlis Perasmian Penutupan 'Siswa Bokampong' dihadiri oleh Adun Kuala Klawang, iaitu YB. Dato' Haji Yunus Rahmat, Dekan FBK, YBhg. Prof. Madya Dr. Zulazhan Ab.Halim, Timbalan Dekan HEPA FBK, YM. Engku Suhaimi Engku Atek, Pengerusi JKKK Kampung Simpang Gelami, Encik Mohd Bakri Abd Majid, Ketua Pusat Pengajian Bahasa Arab FBK selaku pegawai pengiring, Encik Mohd Fauzi Abdul Hamid dan Puan Juliana Borhanuddin, mewakili Encik Amir Fuad Mat Dom, Pengetua SMK DUSAJ.

YB. Dato' Haji Yunus dalam ucapannya menegaskan bahawa mahasiswa perlulah sentiasa bersama masyarakat, di samping perlu belajar bersungguh-sungguh dan meraih kejayaan yang cemerlang. Beliau juga mengucapkan setinggi-tinggi tahniah kepada semua pihak yang terlibat dalam penganjuran program ini kerana berjaya menganjurkannya dengan baik dan mengharapkan agar program ini dapat diteruskan pada masa hadapan. Program 'Siswa Bokampong' ini juga mendapat liputan media daripada pihak akhbar Berita Harian.

 

ll Galeri ll