Cetak

KUBARA 2.0

Ditulis oleh Pentadbir.

KUBARA4

Pembelajaran bahasa Arab dengan tujuan memahami bahasa al-Quran sewajarnya menjadi aspirasi setiap Muslim. Selain itu, pembelajaran bahasa Arab juga dilihat penting bagi memenuhi tuntutan komunikasi yang meluas di peringkat global.

Pelbagai lapisan masyarakat khususnya golongan berusia sangat berminat untuk mendalami ilmu berkaitan bahasa Arab. Mereka ingin mempelajari bahasa Arab kerana menyedari keperluan memahami bacaan-bacaan dalam ibadat harian. Dalam usaha memberi peluang kepada mereka untuk mendalami ilmu bahasa Arab, Pusat Pendidikan Berterusan, Universiti Sultan Zainal Abidin (UniSZA) dengan kerjasama Fakulti Bahasa dan Komunikasi (FBK) telah mengambil inisiatif menganjurkan Kursus Bahasa Arab untuk Orang Awam (KUBARA 2.0) buat kali kedua pada setiap hari Sabtu bermula 22 Julai 2017 dan berakhir pada 14 Oktober 2017 yang lalu.

Kursus yang dijalankan selama 12 minggu ini bertujuan menyediakan platform pembelajaran bahasa Arab kepada individu yang benar-benar berminat untuk mempelajari bahasa Arab secara formal di luar waktu kerja. Modul kursus ini memberi penumpuan kepada konsep bahasa Arab untuk ibadah (al-'Arabiyyah li al-'Ibadah). Penekanan diberikan kepada pembelajaran kosa kata dan tatabahasa Arab menerusi ayat-ayat al-Quran, doa dan zikir harian, serta teks-teks bahasa Arab yang berkaitan dengan Islam dan ibadah.

Seramai 20 orang daripada pelbagai lapisan masyarakat serta peringkat usia telah menyertai kursus ini. Tenaga pengajar terdiri daripada para pensyarah Pusat Pengajian Bahasa Arab, FBK. Pada setiap hari pembelajaran, kursus ini dibahagikan kepada tiga slot, iaitu modul tatabahasa, modul kemahiran membaca dan menulis dan modul kemahiran mendengar dan bertutur. Para peserta perlu melengkapkan kehadiran selama 60 jam belajar, dengan lima jam bagi setiap kali sesi pertemuan.

Penganjuran KUBARA 2.0 ini menerima respons yang amat positif daripada peserta dan mereka mengharapkan kursus ini diteruskan pada masa hadapan dengan modul yang lebih mendalam sebagai lanjutan daripada pengisian modul yang telah mereka pelajari.

 

ll Galeri ll