Cetak

Sambutan Hari Bahasa Arab Sedunia (SHABAS)

Ditulis oleh Pentadbir.

shabas

Pada hari Isnin bertarikh 18 Disember 2017, Fakulti Bahasa dan Komunikasi (FBK) UniSZA telah mencatat sejarah apabila berjaya menganjurkan Sambutan Hari Bahasa Arab Sedunia (SHABAS). Program yang berlangsung di Foyer Asrama UniSZA ini mendapat sambutan yang amat menggalakkan daripada semua warga UniSZA. Program SHABAS yang dianjurkan kali kedua oleh FBK ini telah bermula pada pukul 8 pagi dan berakhir pada jam 5 petang. Program dimulakan dengan bacaan doa dan deklamasi syair oleh Saudara Amir Hamzah bin Kamaruzaman.

Pelbagai aktiviti dijalankan bagi memeriahkan Sambutan Hari Bahasa Arab Sedunia ini. Antaranya, penganjuran pertandingan menulis khat yang mendapat sambutan daripada para pelajar UniSZA. Turut diadakan pertandingan Menulis Karangan, Video Bercakap Arab, Melukis Komik dan Melukis Poster bagi memeriahkan program ini.  Selain itu, forum bertajuk "لغة سهلة اللغة العربية" turut memeriahkan acara sambutan pada tahun ini. Forum yang telah dipengerusikan oleh Saudara Muhamad Amir bin Zainudin itu turut diserikan dengan kupasan yang hebat daripada barisan panel yang terlibat. Panel bagi forum tersebut terdiri daripada Saudara Saiful Radzi bin Roslan, Saudara Yunos Yudrahu dan Saudara Ali Abdullah telah memberikan ulasan yang padat mengenai keindahan Bahasa Arab. Para pelajar dilihat begitu bersemangat mengambil manfaat daripada kesemua panel selain turut mengambil peluang untuk bertanyakan soalan. SHABAS kali ini juga telah dimanfaatkan oleh para pelajar dengan mengambil bahagian dalam aktiviti "Arabic Open Mic". Setiap pelajar bebas untuk tampil ke hadapan dan bercakap dalam Bahasa Arab. Aktiviti ini bertujuan meningkatkan keyakinan dan keberanian pelajar untuk bercakap Bahasa Arab. Program diserikan lagi dengan persembahan nasyid oleh para pelajar dan seterusnya berakhir dengan majlis penutup.

Majlis penutup dimulakan dengan ucapan daripada pengarah bagi jawatankuasa pelajar, iaitu Saudara Muhamad Amir bin Zainudin, disusuli dengan ucapan pengarah SHABAS, Ustaz Mohd Fauzi bin Abdul Hamid. Dalam ucapannya, beliau berbangga dengan ahli jawatankuasa dan para pelajar yang menjayakan program ini. Turut hadir Dekan FBK, Prof. Madya Dr. Zulazhan bin Ab. Halim yang turut merasmikan penutupan SHABAS kali ini. Program diteruskan dengan pembahagian hadiah kepada para pemenang bagi semua pertandingan yang telah dianjurkan. Setiap pemenang telah menerima hadiah berupa hamper, plak dan juga sijil penyertaan. Majlis berakhir dengan sesi bergambar bersama semua tetamu dan pelajar yang hadir.

 

ll Galeri ll