Cetak

KEM BAHASA ARAB UCTC 2018

Ditulis oleh Pentadbir.

s

Pada 10 Februari 2018 (Sabtu), Fakulti Bahasa dan Komunikasi (FBK) UniSZA telah menganjurkan Kem Bahasa Arab UCTC dengan tema العربية في قلوبنا yang bertempat di Dewan Perdana, UniSZA Kampus Gong Badak. Penganjuran Kem Bahasa Arab ini juga merupakan hasil kerjasama dengan Pusat Jaringan Indusrti dan Masyarakat UniSZA. Penyertaan Kem Bahasa Arab ini melibatkan seramai 101 orang pelajar daripada lima buah sekolah menengah sekitar Kuala Nerus dan Kuala Terengganu. Majlis bermula dengan sesi motivasi daripada Ketua Pusat Pengajian Bahasa Arab, Ustaz Mohd Fauzi bin Abdul Hamid. Sesi ini bertujuan memberi semangat kepada para peserta agar mempelajari dan mencintai bahasa Arab.

Kem Bahasa Arab diteruskan dengan slot pertama iaitu aktiviti suai kenal (هيا نتعارف). Sebelum itu, para peserta telah dibahagikan kepada beberapa kumpulan mengikut warna yang telah diletakkan di belakang badan mereka. Kemudian, para peserta dikehendaki untuk duduk di dalam kumpulan seterusnya berbincang tentang logo serta kata-kata tema kumpulan masing-masing. Aktiviti ini dilihat dapat memberi semangat dan keyakinan kepada peserta untuk bercakap bahasa Arab.

Slot kedua ialah Jom Teka (هيا نخمن). Setiap kumpulan perlu memilih kategori gambar yang terdapat pada Power Point yang disediakan. Kemudian, dua orang peserta daripada setiap kumpulan dikehendaki untuk meneka gambar pada skrin belakang mereka, manakala baki ahli kumpulan yang lain memberi petunjuk (clue) kepada peneka. Peneka dikehendaki menyebut perkataan tersebut dalam bahasa Arab. Slot kedua ini sememangnya dapat menguji tahap ingatan pelajar terhadap kosa kata bahasa Arab.

Kem Bahasa Arab ini diteruskan lagi dengan aktiviti explorace (رحلة الصياد) pada waktu petang. Terdapat lima lokasi yang perlu dilalui oleh semua peserta. Bagi lokasi pertama, setiap ahli kumpulan wajib meniup tepung. Peserta dikehendaki mengambil kertas atau potongan cerita dengan mulut. Kemudian, mereka dikehendaki menyusun cerita yang diperolehi tersebut dengan betul. Markah akan dikira berdasarkan hasil susunan cerita yang berjaya dibentuk.


Di lokasi kedua pula, peserta dikehendaki menjatuhkan botol dengan menggunakan buah kelapa. Berdasarkan botol yang telah jatuh, para peserta perlu membuat ayat dan ditulis pada kertas dengan menggunakan kalimah yang terdapat pada botol. Bagi lokasi aktiviti yang ketiga pula, peserta dikehendaki membuat pusingan bumi sebanyak sepuluh kali serta mendapatkan belon dalam sampul yang disediakan. Peserta perlu meniup belon di dalam sampul sehingga pecah. Kemudian para peserta dikehendaki menyusun kalimah tersebut pada kad manila yang disediakan dengan betul.

Seterusnya, di lokasi keempat, setiap ahli kumpulan akan mendapat lima bola kertas yang disediakan. Peserta dikehendaki memasukkan kelima-lima bola tersebut dalam bakul yang disediakan. Setelah berjaya memasukkan bola tersebut, peserta dikehendaki menyelesaikan soalan kira-kira yang telah disediakan. Bagi lokasi yang terakhir, setiap kumpulan disediakan satu cerita. Orang pertama akan mendengar cerita tersebut daripada fasilitator. Kemudian peserta perlu memberitahu cerita tersebut kepada orang kedua dan seterusnya hingga sampai kepada peserta terakhir dalam kumpulan masing-masing. Peserta yang terakhir pula dikehendaki menulis cerita yang diperolehi pada kertas yang disediakan.

Majlis penutup dimulakan dengan ucapan daripada Dekan Fakulti Bahasa dan Komunikasi, Prof. Madya Dr. Zulazhan bin Ab. Halim. Seterusnya, acara penyampaian hadiah kepada wakil setiap sekolah, pengetua, Dekan FBK serta Penolong Pengarah Pusat Jaringan Industri dan Masyarakat. Majlis berakhir dengan nyanyian lagu UniSZA dan lagu tema program العربية في قلوبنا. Semua peserta turut mengambil peluang bergambar bersama pihak penganjur dan berharap agar program seumpama ini dapat diteruskan pada masa akan datang.