Cetak

Gandingan UniSZA dan Universiti Fatoni Jayakan Mukhayyam Lughawi

Ditulis oleh Pentadbir.

ml

 

Proses pemerolehan bahasa asing tidak terhad kepada pengajaran dan pembelajaran di dalam kelas sahaja. Pelaksanaan aktiviti bahasa di luar kelas pembelajaran turut memberi impak positif kepada para pelajar. Justeru, para pelajar Ijazah Sarjana Muda Pengajian Bahasa Arab (Dengan Kepujian) diwajibkan mengikuti kursus Mukhayyam Lughawi I (BAA 21602) yang merupakan subjek teras pengajian. Penawaran kursus ini melibatkan beberapa aktiviti bahasa yang dijalankan dalam tempoh seminggu. Pada kali ini, penganjuran Mukhayyam Lughawi telah dilaksanakan pada 20-26 Januari 2018.

Mukhayyam Lughawi kali ini bukan sahaja disertai oleh seramai 82 orang pelajar Ijazah Sarjana Muda Pengajian Bahasa Arab (Dengan Kepujian) dari Fakulti Bahasa dan Komunikasi, UniSZA, malah turut melibatkan seramai 21 orang pelajar dari Universiti Fatoni, Thailand. Penganjuran Mukhayyam Lughawi ini menggariskan beberapa objektif utama antaranya memanfaatkan peluang penggunaan bahasa Arab dalam pelbagai situasi di luar kelas, mempamerkan keupayaan bekerja dalam satu pasukan, menyampaikan idea dan pengetahuan dalam bahasa Arab dalam pelbagai aktiviti bahasa serta merapatkan hubungan dan kelangsungan kerjasama akademik antara dua universiti.

 

Pelbagai aktiviti telah dilaksanakan sepanjang penganjuran Mukhayyam Lughawi kali ini. Antara aktiviti tersebut ialah Ma Ahsana Fariqana, Unshudat al-Nahw, Takhmin al-Jumal, Akhbar wa 'Ibar, Jawlah Ibtikariyyah, Rihlah al-Sayyad, Qissatuna dan lain-lain. Kesemua aktiviti dalam Mukhayyam Lughawi dilaksanakan dalam bahasa Arab dan berorientasikan kerja kumpulan bagi memupuk semangat kerjasama antara pelajar UniSZA dengan pelajar dari Universiti Fatoni. Faktor perbezaan bahasa ibunda dalam kalangan pelajar dua universiti ini menjadi faktor utama mereka perlu menggunakan bahasa Arab sebagai medium interaksi sepanjang mengikuti Mukhayyam Lughawi.

Rata-rata pelajar menzahirkan perasaan gembira sepanjang mengikuti aktiviti-aktiviti yang dilaksanakan dalam Mukhayyam Lughawi. Mereka menyatakan bahawa dalam keadaan aktiviti yang dijalankan memerlukan mereka bertutur dalam bahasa Arab, maka tiada jalan lain melainkan berusaha untuk bertutur dalam bahasa Arab secara spontan. Sememangnya terdapat beberapa pelajar yang tahap penguasaan bahasa Arab mereka berada pada tahap lemah, walau bagaimanapun dengan usaha yang ditunjukkan oleh setiap pelajar memberi gambaran bahawa penguasaan bahasa Arab amat bergantung kepada aspek praktikal, bukan sekadar pengetahuan teori semata-mata. Benarlah kata-kata yang menyatakan bahawa "Bahasa tidak dapat dikuasai melainkan dengan latihan praktikal".

Mukhayyam Lughawi kali ini diakhiri dengan majlis penutup yang diadakan pada 26 Januari 2018 di Dewan Perdana, UniSZA Kampus Gong Badak. Majlis penutup telah disempurnakan oleh Dekan Fakulti Bahasa dan Komunikasi, UniSZA iaitu Y.Brs. Prof. Madya. Dr. Zulazhan Ab. Halim. Majlis turut dihadiri oleh Ketua Pusat Pengajian Bahasa Arab FBK, En. Mohd Fauzi Abdul Hamid dan wakil rombongan dari Universiti Fatoni iaitu Dr. Ridhwan Leeman, serta para pensyarah Pusat Pengajian Bahasa Arab, FBK, UniSZA. Penganjuran Mukhayyam Lughawi secara kerjasama antara UniSZA dengan Universiti Fatoni telah berlangsung untuk beberapa siri dan diharapkan kerjasama baik ini akan berterusan demi kelangsungan hubungan antara kedua-dua buah universiti dalam memartabatkan bahasa Arab di rantau ini.

 

ll Galeri ll