Cetak

LIQA' MAHABBAH BAS 1.0

Ditulis oleh Pentadbir.

LIQA     

 

Pada hari Sabtu bersamaan 9 Februari 2018, para pelajar Ijazah Sarjana Muda Pengajian Bahasa Arab, Fakulti Bahasa dan Komunikasi telah berjaya menganjurkan satu program yang dikenali sebagai "Liqa' Mahabbah". Program yang julung kali diadakan adalah salah satu usaha daripada Unit Bahasa Arab (UBA) untuk mengeratkan lagi hubungan sesama keluarga besar pelajar Ijazah Sarjana Muda Pengajian Bahasa Arab. Program ini melibatkan semua pelajar Ijazah Sarjana Muda Pengajian Bahasa Arab termasuk pelajar semester dua, empat, enam dan pelajar semester akhir iaitu semester lapan. Program ini dimeriahkan lagi dengan kehadiran para pensyarah FBK yang turut sama mengambil bahagian dalam aktiviti yang dianjurkan.

Program yang bermula seawal 7.30 pagi ini dimulakan dengan sesi pendaftaran pelajar seterusnya kata-kata aluan daripada Ketua Pusat Pengajian Bahasa Arab, Ustaz Mohd Fauzi Abdul Hamid. Pagi itu juga dimulakan dengan alunan al-Asma' al-Husna daripada semua pelajar ISM Pengajian Bahasa Arab seterusnya aktiviti "Senam Santai" yang dikendalikan oleh beberapa orang pelajar.

Taklimat ringkas juga telah diberikan kepada semua pelajar yang terlibat bagi memastikan semua aktiviti yang dijalankan berjalan dengan lancar. Antara aktiviti dan pertandingan yang dijalankan sepanjang program ini ialah pertandingan bola tampar, bola jaring dan badminton. Acara sukaneka seperti bowling padang dan bola beracun juga diadakan. Semua pelajar dilihat bersungguh-sungguh mempamerkan semangat kesukanan ketika acara dipertandingkan. Setiap acara dipertandingkan sehingga waktu tengah hari dan penentuan bagi tempat pertama dan kedua telah dipertandingkan selepas solat Zuhur bertempat di Dewan Gemilang.

Program Liqa' Mahabbah ini disudahi dengan ucapan penutup daripada Dekan FBK, Prof Madya Dr. Zulazhan Ab. Halim selain pembahagian hadiah kepada para pemenang. Program berakhir dengan perasaan ikatan mahabbah yang semakin kuat antara semua pelajar yang terlibat. Sesi bergambar beramai-ramai mengakhiri program Liqa' Mahabbah sebagai tanda kenang-kenangan. Rata-rata pelajar sangat gembira dan teruja dengan program yang dianjurkan ini.