Print

PBAAT 2019: HIMPUNAN PENYELIDIK DAN AHLI AKADEMIK

Written by Pentadbir.

portal

 

Buat julung kalinya bumi UniSZA menyaksikan penyelidik dan ahli akademik bahasa Arab Asia Tenggara berhimpun dalam satu persidangan yang dianjurkan oleh Pusat Pengajian Bahasa Arab, Fakulti Bahasa dan Komunikasi (FBK), UniSZA. Persidangan Bahasa Arab Negara-negara Asia Tenggara Kali Ke- 3 (PBAAT 2019) telah berlangsung dengan jayanya pada 11 dan 12 September 2019, bertempat di UniSZA Kampus Gong Badak. Persidangan ini dianjurkan secara bersama oleh UniSZA dan Persatuan Bahasa Arab Malaysia, Kolej Universiti Perguruan Ugama Seri Begawan, Universiti Islam Sultan Sharif Ali, Ikatan Pengajar Bahasa Arab Se-Indonesia, Universitas Islam Negeri Ar-Raniry dan Yayasan Asia Tenggara Kerajaan Thailand.

Persidangan kali ketiga ini meneruskan legasi yang telah dimulakan pada persidangan kali pertama di Brunei pada tahun 2017 dan kali kedua di Acheh, Indonesia pada tahun lepas. Persidangan kali ketiga ini memberikan tumpuan kepada aspek penyediaan buku teks bahasa Arab yang merupakan salah satu elemen penting dalam proses pengajaran dan pembelajaran.

Sebanyak 75 kertas kerja telah dibentangkan dalam PBAAT 2019 melibatkan para pensyarah dan penyelidik dari dalam dan luar negara. Sesi pembentangan ucaptama pula telah disampaikan oleh dua orang pakar bidang bahasa Arab, iaitu Prof. Dr. Rosni bin Samah dari Universiti Sains Islam Malaysia dan Prof. Dr. Imam Asrori daripada Universitas Negeri Malang, Indonesia. Majlis perasmian PBAAT 2019 telah disempurnakan oleh Dekan FBK, UniSZA, Prof. Madya Dr. Zulazhan bin Ab. Halim. Dalam ucapan perasmiannya, Prof. Madya Dr. Zulazhan bin Ab. Halim menyarankan agar persidangan seumpama ini dapat diadakan di semua negara Asia Tenggara setiap tahun agar jaringan akademik dalam bidang bahasa Arab terus utuh dengan penglibatan pakar dan ahli akademik dari negara-negara tersebut. Beliau turut menyatakan bahawa pemilihan UniSZA sebagai tuan rumah pada tahun ini merupakan satu penghargaan dan kepercayaan daripada semua dalam menganjurkan persidangan seumpama ini. Majlis perasmian turut dihadiri oleh Pengurusan FBK, Ketua Pusat Pengajian Bahasa Arab, FBK, Dr. Norasyikin binti Osman dan Pengarah PBAAT 2019, Prof. Madya Dr. ElSayed Salem.

Penganjuran PBAAT 2019 merupakan satu kejayaan bagi FBK yang buat pertama kalinya menganjurkan persidangan peringkat antarabangsa berkaitan bahasa Arab sebagai penganjur utama. Rata-rata para peserta menyatakan rasa berpuas hati dengan penganjuran persidangan ini dan berharap agar PBAAT dapat diteruskan pada masa akan datang dengan penyertaan yang lebih ramai.

 

ll Galeri ll