Print

Kerjasama Penganjuran Higher Education – English Language Carnival

Written by Pentadbir.

PORTAL

 

Revolusi Industri (IR) 4.0, iaitu satu era yang memberi penekanan kepada teknologi Artificial Intelligence, majikan pada masa akan datang tidak hanya menilai kelayakan akademik yang dimiliki oleh calon yang bakal diambil bekerja malah akan melihat kepada kemahiran insaniah calon tersebut seperti keupayaan calon untuk berfikir secara kritis dan kreatif, menyelesaikan masalah, serta berkomunikasi dengan baik terutamanya dalam bahasa Inggeris yang merupakan global lingua franca pada abad ke-21. Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) mengambil inisiatif untuk menganjurkan Higher Education – English Language Carnival 2019 (HE-ELCA 2019) untuk memberi pendedahan dan peluang kepada pelajar universiti untuk meneroka, menggunakan bahasa Inggeris dan memberi ruang kepada mereka untuk meningkatkan minat dan usaha untuk memperkasa bahasa Inggeris.

Program ini memberi ruang dan peluang kepada mahasiswa mempamerkan kompetensi mereka berbahasa Inggeris melalui aktiviti dan pertandingan yang dirancang. Ia juga satu medium untuk peserta mempertingkatkan penguasaan bahasa Inggeris mereka dengan berkomunikasi dalam suasana menyeronokkan dan kompetitif dengan melibatkan mereka di dalam pelbagai pertandingan dan permainan bahasa.

Penganjuran karnival ini mendapat kerjasama daripada Universiti Sultan Zainal Abidin (UniSZA) dan Universiti Malaysia Terengganu (UMT). Para peserta yang dipilih terdiri daripada pelajar-pelajar sarjana muda semua universiti awam yang mencapai keputusan Band 1 hingga 3 dalam Malaysian University English Test (MUET). Fasilitator yang dilantik pula terdiri daripada gabungan pelajar UMT dan UniSZA yang mendapat MUET Band 4 dan ke atas. Pelbagai aktiviti telah dijalankan seperti Western Dikir, Tense-o-Gram, Future Journalist, Viral Vlog, I Listen I Follow dan Lexical Run. Lokasi aktiviti adalah bertempat di UniSZA pada 24-25 September dan 26 September 2019 di UMT. Seramai 600 orang terlibat secara keseluruhan dalam menjayakan aktiviti ini.

Hasil daripada karnival ini telah menunjukkan satu kombinasi yang cemerlang antara UniSZA dan UMT dengan sokongan penuh daripada Jabatan Pendidikan Tinggi, Kementerian Pendidikan Malaysia. Para peserta menunjukkan satu daya saing dan keterbukaan dalam meningkatkan tahap penguasaan Bahasa Inggeris melalui aktiviti pengukuhan yang dianjurkan.

ll Galeri ll