Cetak

Refleksi Latihan Industri dan Pelancaran Hari Bersama Mentor PPBA, FBK

Ditulis oleh Pentadbir.

ijal

 

Satu pelancaran program "Yaumun Ma'a al-Mursyid" atau "Hari Bersama Mentor" telah berlangsung dengan jayanya pada Khamis, 16 Februari 2017. Pada waktu yang sama , telah diadakan juga satu slot Refleksi Latihan Industri yang telah disampaikan oleh beberapa orang pelajar ISM Pengajian Bahasa Arab Semester 8. Program yang julung kali diadakan ini adalah anjuran Pusat Pengajian Bahasa Arab (PPBA) Fakulti Bahasa dan Komunikasi (FBK) Universiti Sultan Zainal Abidin (UniSZA) dengan kerjasama Unit Bahasa Arab, Persatuan Mahasiswa FBK (FALCOM).

Program yang bertempat di Dewan Perdana, Universiti Sultan Zainal Abidin (UniSZA) ini telah disertai oleh para pensyarah PPBA serta semua pelajar Ijazah Sarjana Muda Pengajian Bahasa Arab (BAS).

Majlis bermula dengan ketibaan tetamu kehormat yang terdiri daripada Dekan FBK, YBrs. Dr. Zulazhan bin Ab. Halim, Ketua Pusat Pengajian Bahasa Arab, Ustaz Mohd Fauzi bin Abdul Hamid serta para pensyarah PPBA. Seterusnya majlis diteruskan dengan alunan bacaan ayat suci Al-Quran oleh pelajar BAS Semester 4, iaitu saudara Mohd Amin Fahimi bin Mohd Termizi.

Cetak

A Weekend in English (AWIE) di Kuala Nerus

Ditulis oleh Pentadbir.

AWIE2017  

Program A Weekend in English (AWIE) merupakan program anjuran Fakulti Bahasa dan Komunikasi (FBK), UniSZA dengan kerjasama Pusat Jaringan Industri dan Masyarakat (PJIM), UniSZA dalam usaha untuk meningkatkan kemahiran berkomunikasi bahasa Inggeris dalam kalangan pelajar sekolah menengah. Program ini dibiayai oleh dana NBOS4. AWIE telah dianjurkan sebanyak tiga kali iaitu pada 30 September, 14 Oktober dan 21 Oktober 2016 di UniSZA Kampus Gong Badak.

Program ini melibatkan penyertaan seramai 80 orang pelajar tingkatan dua dari dua buah sekolah menengah terpilih di daerah Kuala Nerus iaitu SMK Kompleks Seberang Takir dan SMK Kompleks Gong Badak. Penganjuran program ini bertujuan membantu para pelajar sekolah menengah di Kuala Nerus untuk meminati subjek Bahasa Inggeris melalui aktiviti-aktiviti bahasa yang dijalankan. Selain itu, program ini merupakan satu wadah memperkasakan kemahiran berkomunikasi bahasa Inggeris dalam kalangan pelajar sekolah serta memberi peluang kepada pelajar semester tiga Ijazah Sarjana Muda Bahasa Inggeris Dengan Komunikasi (Kepujian) di FBK untuk mengaplikasikan segala kemahiran yang telah dipelajari dalam kuliah.

Melalui program AWIE ini, para pelajar FBK juga berpeluang merasai pengalaman dalam mengendali program berbentuk khidmat komuniti yang menekankan aspek komunikasi. Sesi pertama program ini berlangsung pada 30 September 2016 melibatkan tiga aktiviti bahasa Inggeris iaitu Ice Breaking (Blank Space), Twist Your Tongue! dan Chant Your Bond. Tiga aktiviti yang dijalankan pada sesi kedua pula iaitu pada 14 Oktober 2016 ialah Serpente e Scaletta (Snake Ladder), Hot Seats dan English Lounge. Kesemua aktiviti tersebut memerlukan para peserta berkomunikasi sesama mereka dalam bahasa Inggeris di samping dapat memupuk semangat bekerjasama dalam melakukan aktiviti secara berkumpulan. Sesi terakhir berlangsung pada 21 Oktober 2016 yang menyaksikan pertandingan Choral Speaking dan Western Dikir.

Majlis penutup program AWIE ini telah diadakan pada hari Jumaat, 21 Oktober 2016 di Dewan Ibnu Khaldun, UniSZA Kampus Gong Badak. Majlis telah disempurnakan oleh Naib Canselor UniSZA iaitu Y.Bhg. Prof. Dato' Dr. Ahmad Zubaidi Abdul Latif. Dalam ucapannya, Prof. Dato' Dr. Ahmad Zubaidi telah menekankan tentang keperluan pelajar menguasai ilmu menerusi kemahiran berbahasa Inggeris. Pada majlis tersebut, beliau turut menyampaikan cenderahati kepada para pemenang pertandingan Choral Speaking dan Western Dikir. Turut hadir pada majlis penutup ini ialah Dekan FBK, Prof. Dato' Dr. Mohamed Anwar Omar Din, Pengetua SMK Kompleks Seberang Takir dan SMK Kompleks Gong Badak serta para pensyarah FBK. Secara keseluruhannya, program ini berjaya menarik minat pelajar sekolah untuk mempelajari bahasa Inggeris melalui penganjuran aktiviti-aktiviti berbahasa yang menarik.

ll Galeri ll

Cetak

MUKHAYYAM LUGHAWI 1, 2017

Ditulis oleh Pentadbir.

MUKAHYYK

 

Pusat Pengajian Bahasa Arab (PPBA), Fakulti Bahasa dan Komunikasi telah menganjurkan Perkhemahan Bahasa I (Mukhayyam Lughawi I) kali ke-3 bertempat di UniSZA Kampus Gong Badak. Mukhayyam Lughawi yang diadakan selama seminggu bermula pada 15 hingga 21 Januari 2017 bertujuan meningkatkan kemahiran berbahasa iaitu kemahiran membaca, menulis, mendengar dan bertutur dalam kalangan pelajar.

Mukhayyam Lughawi ini merupakan subjek teras yang wajib diambil oleh para pelajar Ijazah Sarjana Muda Pengajian Bahasa Arab (Dengan Kepujian) pada semester empat. Pada kali ini, seramai 137 orang pelajar menjadi peserta dan turut melibatkan para pensyarah PPBA yang bertindak sebagai fasilitator dan hakim bagi aktiviti yang dijalankan. Penganjuran mukhayyam ini turut dibantu oleh jawatankuasa khas yang terdiri daripada beberapa orang pelajar ISM Pengajian Bahasa Arab semester lima.