Selamat datang ke laman web Fakulti Bahasa dan Komunikasi, Universiti Sultan Zainal AbidinFBK UniSZA
 

Pertanyaan?

09-819 8100 / 8960
 

Alamat

UniSZA, Kampus Gong Badak, 21300 Kuala Nerus, Terengganu

UniSZA & Empat (4) Agensi Meterai MoU; Perkasa Program 3u1i, Tingkatkan Kebolehpasaran Graduan

Kuala Nerus, 19 Ogos 2025 – Universiti Sultan Zainal Abidin (UniSZA) melalui Fakulti Bahasa dan Komunikasi (FBK) terus memperkukuh hubungan strategik bersama industri dengan memeterai Memorandum Persefahaman (MoU) bersama empat (4) agensi, iaitu Institute of Public Relations Malaysia (IPRM), Pertima Trengganu Sdn. Bhd., MSGA Sdn. Bhd., dan Media Smart Resources Sdn. Bhd.
Majlis menandatangani MoU antara UniSZA dan empat (4) agensi tersebut telah berlangsung di Bangunan Canselori, UniSZA Kampus Gong Badak, hari ini.
YBhg. Prof. Dato’ Dr. Fadzli bin Adam, Naib Canselor UniSZA menzahirkan penghargaan atas kesungguhan dan komitmen semua pihak dalam menjayakan kerjasama ini yang disifatkan sebagai signifikan, khususnya dalam usaha memperkukuh peranan Fakulti Bahasa dan Komunikasi (FBK) UniSZA.
“Dalam era globalisasi dan ilmu tanpa sempadan, universiti tidak boleh berdiri sendiri tanpa kerjasama industri. Sejajar dengan misi UniSZA untuk melahirkan graduan holistik, kerjasama ini akan membuka peluang penyelidikan, perkongsian teknologi serta meningkatkan kebolehpasaran graduan,” jelas beliau.
Kerjasama antara UniSZA dan empat (4) agensi ini akan berfokus ke arah tujuan perantisan dan pelaksanaan pengajaran dan pembelajaran program 3u1i di industri berdasarkan garis panduan yang ditetapkan oleh Kementerian Pendidikan Tinggi.
FBK kini menawarkan dua program pengajian berbentuk 3u1i (tiga tahun di universiti, satu tahun di industri) sejak Oktober 2021, iaitu Sarjana Muda Bahasa Melayu Kontemporari dengan Media Interaktif (Kepujian) dan Sarjana Muda Perhubungan Awam dengan Media Kontemporari (Kepujian). Program ini direka bentuk bagi memastikan graduan lebih bersedia menghadapi pasaran pekerjaan sebenar.
Dokumen MoU tersebut telah ditandatangani oleh YBhg. Prof. Dato’ Dr. Fadzli Adam (Naib Canselor UniSZA), YBrs. Encik Jaffri Amin bin Osman (Presiden Institute of Public Relations Malaysia (IPRM)), YBrs. Encik Azwan bin Abd Aziz (Ketua Pengarah Urusan Media Smart Resources Sdn. Bhd.), YM Syed Mohd Asdi bin Tuan Ngah (Pengurus Besar, PERTIMA Trengganu Sdn. Bhd.) dan Mejar Hasrul Taufek bin Roslan TUDM (Bersara) (Pengerusi Kumpulan, MSGA Sdn. Bhd.).
Majlis yang cukup bermakna tersebut turut disertai Prof. Ts. Dr. Shukor bin Abd Razak, (Timbalan Naib Canselor (Penyelidikan dan Inovasi) UniSZA), Encik Suhaili bin Mohd (Bendahari UniSZA), Prof. Madya Dr. Syarilla Iryani binti Ahmad Saany (Pengarah Pusat Komunikasi Korporat dan Pengurusan Perhubungan UniSZA), Dr. Norhayati binti Che Hat (menjalankan tugas Dekan Fakulti Bahasa dan Komunikasi UniSZA), Pengurusan Fakulti Bahasa dan Komunikasi UniSZA dan para pegawai daripada kesemua pihak.
Tambahan lagi, antara manfaat yang dijangka akan diperoleh hasil daripada jalinan kerjasama ini termasuklah peluang penyelidikan bersama, geran industri, pertukaran kepakaran, pengetahuan, dan teknologi, peningkatan kemahiran insaniah serta kebolehpasaran graduan yang lebih tinggi.
 
 

 

 

Hubungi Kami

Fakulti Bahasa dan Komunikasi
Universiti Sultan Zainal Abidin
Kampus Gong Badak
21300 Kuala Nerus
Terengganu Darul Iman

  09-668 8100 / 8960
  fbk@unisza.edu.my
logo3d left

Lokasi

Ikuti Kami

Pengunjung

510515