
UniSZA Perkukuh Hubungan Jaringan Industri, Meterai MoU dengan Tiga Agensi
Kuala Nerus, 27 Ogos 2025 – Universiti Sultan Zainal Abidin (UniSZA) terus melangkah ke hadapan dalam memperkukuhkan hubungan strategik bersama industri apabila telah menandatangani Memorandum Persefahaman (MoU) dengan tiga agensi iaitu Institut Terjemahan & Buku Malaysia Berhad (ITBM), iOli Communications Sdn. Bhd. dan Yayasan Amal Maaedicare hari ini bertempat Pejabat Naib Canselor, UniSZA Kampus Gong Badak.
Naib Canselor UniSZA, YBhg. Prof. Dato’ Dr. Fadzli bin Adam menegaskan bahawa MoU ini menzahirkan komitmen UniSZA untuk terus bekerjasama rapat dengan industri dalam memperkukuh ekosistem pendidikan, terutamanya dalam memperkasa program akademik Fakulti Bahasa dan Komunikasi (FBK).
Beliau turut menyatakan bahawa jalinan kerjasama ini akan memberi peluang luas dalam pelbagai bentuk kolaborasi seperti pembangunan akademik, pertukaran kepakaran, penyelidikan bersama, latihan industri, serta program Pembelajaran Sepanjang Hayat (PSH).
“Universiti tidak boleh berdiri sendiri tanpa sokongan industri. Dengan adanya jalinan strategik ini, kita bukan sahaja memperkukuh kurikulum, malah melahirkan graduan yang lebih bersedia menghadapi pasaran pekerjaan serta cabaran global. Graduan UniSZA perlu memiliki ciri-ciri graduan yang kalis masa hadapan, yang mampu bersaing dan kekal relevan dalam dunia pekerjaan yang dinamik,” jelas beliau.
Dokumen MoU tersebut telah ditandatangani oleh YBhg. Prof. Dato’ Dr. Fadzli bin Adam (Naib Canselor UniSZA), YBrs. Encik Sakri bin Abdullah (Ketua Pegawai Eksekutif Institut Terjemahan & Buku Malaysia Berhad (ITBM)), YBrs. Puan Yan Lim (Ketua Pegawai Eksekutif iOli Communications Sdn. Bhd.) dan YBrs. Puan Salmah Shalini binti Mani Rasa (Pengurus Sumber Manusia Yayasan Amal Maaedicare).
Turut hadir ke majlis tersebut daripada pihak UniSZA ialah Prof. Dr. Zuhairah Ariff binti Abd Ghadas, Timbalan Naib Canselor (Akademik dan Antarabangsa), Encik Muzafar bin Mohd Din, Pendaftar, Puan Norulhuda binti Makhtar, Ketua Pustakawan, Prof. Madya Dr. Syarilla Iryani binti Ahmad Saany, Pengarah Pusat Komunikasi Korporat dan Pengurusan Perhubungan, Dr. Norhayati binti Che Hat, Menjalankan Tugas Dekan Fakulti Bahasa dan Komunikasi (FBK) serta para pegawai.