Kuala Nerus, 26 Jun 2025 – Fakulti Bahasa dan Komunikasi (FBK), Universiti Sultan Zainal Abidin (UniSZA) telah mengadakan majlis perpisahan bagi meraikan pelajar Latihan Industri dari Fakulti Pengajian Bahasa Utama (FPBU), Universiti Sains Islam Malaysia (USIM), saudara Ahmad Syahmi yang telah menamatkan tempoh latihan selama empat bulan di fakulti ini.
Sepanjang tempoh latihan industrinya di FBK, Ahmad Syahmi telah diberi bimbingan oleh Ketua Pusat Pengajian Bahasa Arab, YBrs. Dr. Suzana Sulaiman serta mendapat sokongan dan tunjuk ajar daripada para pensyarah di Pusat Pengajian lain.
Majlis sederhana tetapi bermakna ini turut menjadi ruang untuk seluruh warga fakulti menyampaikan penghargaan dan ucapan terima kasih atas sumbangan Ahmad Syahmi sepanjang berada di FBK. Suasana mesra dan penuh kenangan terukir dalam ingatan sebagai penutup kepada pengalaman beliau bersama keluarga besar FBK UniSZA. Turut hadir dalam majlis ini adalah Pemangku Dekan, YBrs. Dr. Norhayati Che Hat, Timb. Dekan HEPA, YBrs. Dr. Norhafizah dan Ketu Pusat Pengajian Bahasa Arab, YBrs. Dr. Suzana serta pensyarah dan kakitangan FBK.
Semoga segala ilmu dan pengalaman yang diperoleh menjadi bekalan berguna dalam perjalanan akademik dan kerjaya Ahmad Syahmi pada masa hadapan. Warga FBK mendoakan kejayaan berterusan buat beliau, insya-Allah.