Kuala Nerus, 25 Jun 2025 — Alhamdulillah, Program FlexS Nadwah: Solat Hajat Perdana FBK sempena Peperiksaan Akhir Semester II Sesi 2024/2025 telah berjaya dilaksanakan dengan penuh tertib pada Rabu, bertempat di Umar 01 & Umar 02, Blok Umar, Fakulti Bahasa dan Komunikasi (FBK), UniSZA.
Program ini merupakan anjuran bersama FALCOM dengan kerjasama FBK dan HEPA. Bermula jam 6:30 petang sehingga 9:30 malam, acara ini menghimpunkan warga FBK termasuk pensyarah, urusetia, serta para mahasiswa/i dalam satu majlis yang memperkukuh hubungan ukhuwah, selain menjadi persiapan rohani menghadapi peperiksaan akhir.
Antara pengisian utama sepanjang program ialah:
Solat Maghrib berjemaah diikuti dengan Solat Hajat memohon kelancaran urusan peperiksaan serta kejayaan bersama.
Ceramah motivasi dan rohani oleh Dr. Mohd Fauzi Abdul Hamid, Mentor FlexS UniSZA, yang menekankan pentingnya kekuatan hati, doa dan usaha berterusan.
Doa khas dipimpin buat seluruh warga FBK yang akan menduduki peperiksaan.
Majlis Perasmian Penutup disempurnakan oleh YBrs. Dr. Norhayati Che Hat, Timbalan Dekan Penyelidikan & Pembangunan merangkap Pemangku Dekan FBK.
Sesi bermaafan sesama pensyarah dan pelajar sebagai simbolik penyucian hati menjelang ujian besar.
Program ini bukan sahaja mengukuhkan nilai kerohanian mahasiswa/i, malah menjadi ruang refleksi, motivasi dan mengeratkan lagi jalinan antara pensyarah dan pelajar FBK.
Tahniah dan setinggi-tinggi penghargaan diucapkan kepada semua urusetia, pensyarah dan mahasiswa/i yang hadir serta menjayakan program ini. Semoga segala usaha dan doa kita semua diberkati Allah SWT dan dipermudahkan sepanjang menghadapi peperiksaan akhir semester kelak.

