Cetak

Program "A Weekend in English"

Ditulis oleh Pentadbir.


Buat kali ke-3, TESL Society, Fakulti Bahasa dan Komunikasi menganjurkan ‘A Weekend in English’ (AWIE). Program ini merupakan satu program komuniti yang diadakan untuk menggalakkan para pelajar sekolah menggunakan bahasa Inggeris. Program yang berlangsung pada 11-13 April 2013 telah diadakan di perkarangan UniSZA, Kampus Gong Badak dan melibatkan 85 pelajar Diploma TESL semester 6 dan 4 yang bertindak sebagai fasilitator. Program ini dibimbing oleh 3 orang pensyarah FBK. Turut terlibat secara langsung dalam program ini ialah 277 orang pelajar Tahun 5 dari 6 buah sekolah DUN Kuala Nerus.

Bertemakan ‘English for Community’, Program AWIE dijalankan dengan dua jenis aktiviti utama iaitu aktiviti ‘indoor’ dan aktiviti ‘outdoor’. Kesemua aktiviti yang dijalankan bertujuan untuk membantu pelajar sekolah rendah menguasai bahasa Inggeris dengan berkesan. Ia juga memberi peluang kepada pelajar TESL semester 4 untuk mengaplikasi pengetahuan pengajaran bahasa melalui aktiviti yang dijalankan, disamping mempersiapkan diri sebelum menjalani praktikum pengajaran pada semester 6. Selain itu, ia juga bertujuan menjalinkan kerjasama yang baik antara UniSZA dengan sekolah-sekolah rendah dan komuniti setempat.

Program ini telah dilaksanakan dengan jayanya dan Majlis Perasmian Penutup telah disempurnakan oleh Yg. Brs. Dr. Mustafa bin Che Omar, Timbalan Dekan Hal Ehwal Pelajar UniSZA. Turut hadir pada majlis tersebut Yg. Brs. Pn. Azizah binti Endut, Dekan Fakulti Bahasa dan Komunikasi, UniSZA, Yg. Brs. Dr. Mohd Nazri bin Latiff Azmi, Timbalan Dekan FBK (Akademik dan HEP), wakil-wakil Guru Besar daripada setiap sekolah dan ibu bapa. Atas permintaan ramai termasuk guru-guru dan ibu bapa, Program AWIE fasa kedua dijangka akan diadakan sebelum penghujung tahun ini.

|| Gambar ||