Cetak

Majlis Penutup Program Bahasa Arab Pelajar FPPP

Ditulis oleh Pentadbir.

 

Program Penguasaan Bahasa Arab (Barnamij at-Ta’ziz al-Lughawi) bagi pelajar Fakulti Pengurusan Perniagaan dan Perakaunan (FPPP) telah berlangsung selama dua semester. Kemuncaknya ialah penganjuran Majlis Penutup yang diadakan pada hari Rabu, 22 Mei 2013 bertempat di Dewan Kuliah Utama, Kampus Gong Badak, UniSZA. Majlis tersebut dirasmikan oleh Pn. Azizah binti Endut, Dekan Fakulti Bahasa dan Linguistik (FBL). Turut hadir Dr. Mohd Nazri bin Latiff Azmi, Timbalan Dekan (Akademik & Hal Ehwal Pelajar) FBL, En. Mohd Hazli bin Yah @ Alias yang mewakili Ketua Pusat Pengajian Bahasa Arab, FBL, En. Mohd Shahrizal bin Nasir selaku penyelaras program serta warga pendidik Pusat Pengajian Bahasa Arab, FBL.

Program ini merupakan cetusan idea mantan Pengerusi Lembaga Pengarah Universiti (LPU) iaitu Y.Bhgia  Dato' Zolkipli Abdul yang berhasrat melahirkan kumpulan graduan daripada bidang Kewangan Islam dan Pengurusan Risiko & Takaful yang mampu menguasai bahasa Arab.Tanggungjawab telah diberikan kepada Pusat Pengajian Bahasa Arab, FBL untuk melaksanakan program ini dengan melibatkan 162 orang pelajar termasuk empat orang pelajar bukan Islam.

Program ini memberi fokus kepada aspek komunikasi bahasa Arab. Semua pengisian program ini telah dirangka secara teliti bagi mencapai objektif penganjurannya. Majlis Penutup diserikan dengan persembahan Kalam Jama’i (Bicara Berirama) dan tayangan klip video bahasa Arab. Hadiah turut disampaikan kepada pemenang pertandingan Al-Munazarah (Debat), Taqdim al-Mashru’at (Pembentangan Projek) dan pembikinan klip video bahasa Arab.

 

ll Gambar ll