Cetak

Minggu Mesra Siswa Diploma TESL 2019

Ditulis oleh Pentadbir.

mms

Fakulti Bahasa dan Komunikasi (FBK) telah mengadakan Minggu Mesra Siswa (MMS) peringkat fakulti bagi pelajar Diploma TESL pada 21 Jun lalu. Program ini berlangsung di bilik Umar 01 dan 02. Pada semester kali ini, FBK menerima seramai 78 orang pelajar.

Majlis dimulakan dengan ucapan aluan pengerusi majlis, kemudian disusuli dengan bacaan doa oleh wakil pelajar FBK. Majlis diteruskan dengan ucapan Dekan FBK, Prof. Madya Dr. Zulazhan bin Ab. Halim yang seterusnya merasmikan majlis tersebut. Sejurus ucapan dan perasmian majlis, para pelajar diberi penerangan dan gambaran awal mengenai FBK serta program-program yang akan diadakan sepanjang tahun di FBK. Selain itu, para pelajar juga diberi taklimat mengenai struktur pengajian mereka selama berada di UniSZA oleh Ketua Pusat Pengajian masing-masing.

Turut hadir dalam majlis perasmian tersebut ialah pengurusan fakulti. Program ini dilihat mampu membantu para pelajar baharu bagi mendapat gambaran awal mengenai fakulti mereka. Selain itu, program MMS membolehkan para pelajar bersuai kenal dengan pensyarah dan staf FBK. Semoga program yang diadakan ini, mampu merangsang semangat pelajar untuk memulakan sesi pengajian di FBK.

 

ll Galeri ll

Cetak

Mobiliti Berkredit Universiti Fatoni

Ditulis oleh Pentadbir.

fatoni

Seramai empat orang pelajar Ijazah Sarjana Pengajian Bahasa Arab, Fakulti Bahasa dan Komunikasi (FBK) telah terpilih untuk menjalani Latihan Industri (LI) secara Mobiliti Berkredit di Universiti Fatoni, Thailand. Pelajar menjalani LI selama tiga bulan bermula 17 Jun sehingga 16 September. Keberangkatan pelajar ke Universiti Fatoni diiringi oleh Prof. Madya Dr. Zulazhan bin Ab.Halim, Dekan FBK pada 16 Jun.

Pelajar ditempatkan di sekolah berdekatan dengan universiti dan diberikan tugasan berkaitan aktiviti pemantapan bahasa Arab kepada pelajar di sekolah tersebut. Pelajar dinilai oleh pensyarah Universiti Fatoni. Program mobiliti berkredit ke luar negara ini adalah yang pertama kali dilaksanakan oleh FBK. Selain melatih pelajar untuk menghadapi situasi alam pekerjaan yang sebenar serta mempraktikkan ilmu yang telah dipelajari, peluang ini membuka ruang kerjasama yang lebih luas serta mengukuhkan lagi hubungan antara kedua-dua buah universiti.

Dalam pada itu, lawatan Dekan FBK ke Universiti Fatoni juga bertujuan membincangkan MoA dan kerjasama yang lain seperti program pertukaran pelajar dan pensyarah antara FBK dengan Universiti Fatoni.

 

ll Galeri ll

Cetak

Program Mobiliti Pemantapan Bahasa Arab

Ditulis oleh Pentadbir.

kem

 

Seramai 10 orang pelajar ISM Pengajian Bahasa Arab menyertai Program Mobiliti Kesukarelaan Pemantapan Bahasa Arab di Institute of Integrated Tahfiz Cambodia (INTAC), Kampong Cham, Kemboja anjuran Fakulti Bahasa dan Komunikasi (FBK), UniSZA dengan kerjasama Pusat Antarabangsa UniSZA. Delegasi ini telah diketuai oleh saudara Mohd Amin Fahimi bin Mohd Tarmizi, dan diiringi oleh Dr. Suzana binti Sulaiman.

Program selama dua minggu bermula dari 15 - 28 Mac 2019 ini bertujuan untuk membantu dan memberi peluang pelajar INTAC, Kemboja terlibat dalam proses pembelajaran dan pengajaran bahasa Arab. Ia juga dapat mempertingkat keupayaan pelajar FBK dalam memanfaatkan teori dan ilmu bahasa Arab yang dipelajari dalam kurikulum sarjana muda pengajian bahasa Arab mereka.

Pelbagai aktiviti bahasa telah dilaksanakan. Ia menekankan aplikasi kaedah pengajaran bahasa Arab berasaskan permainan bahasa secara interaksi dua hala yang melibatkan lebih daripada 20 aktiviti bahasa dan kemuncaknya pertandingan pidato dan bicara berirama dalam bahasa Arab. Ia keseluruhannya memfokuskan empat kemahiran asas bahasa, iaitu kemahiran mendengar, membaca, menulis dan bertutur.

Perkongsian juga dilaksanakan di sekolah-sekolah berdekatan dan ia mendapat sambutan yang menggalakkan daripada pihak sekolah dan penduduk setempat. Semangat kerjasama yang ditonjolkan oleh semua pihak yang terlibat menjadikan program ini berjaya dan mencapai objektif yang digariskan.

 

ll Galeri ll