Tabayun Asas Tepis Berita Tidak Sahih
Kuala Terengganu, 12 Disember 2024 - Konsep tabayyun perlu dijadikan asas bagi penyebaran sesuatu berita yang merangkumi kesahihan maklumat, kredibiliti sumber serta penyampaian berita secara beretika, Menteri Komunikasi, Fahmi Fadzil berkata dalam sesi dialog Program Jelajah Hari Wartawan Nasional (HAWANA) 2024 Bersama Siswa di Zon Timur, Universiti Sultan Zainal Abidin (UniSZA).
Beliau menambah, pelajar perlu membina satu modul yang boleh digunakan sebagai garis panduan untuk menapis maklumat yang diterima bagi mengelakkan dari menjadi mangsa maklumat palsu dalam media sosial dan tidak bergantung sepenuhnya kepada kercerdasan buatan (AI).
Selain itu, beliau turut mengulas berkenaan pindaan Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 (Akta 588) yang telah diluluskan pada 9 Disember bagi menangani ancaman jenayah dalam talian yang semakin berleluasa, termasuk kesalahan seksual dan judi dalam talian.
Menurut Fahmi, kerugian sebanyak RM432 juta telah direkodkan dalam kalangan rakyat Malaysia melalui jenayah penipuan dalam laman media sosial Facebook pada tahun lalu kerana undang-undang yang tidak tegas.
Sesi dialog tersebut turut menekankan kepentingan kewartawanan yang tidak akan terhapus sebagai penyampai berita kepada masyarakat. Tambahan Fahmi, HAWANA 2024 di institut pengajian tinggi penting untuk mengiktiraf peranan universiti terhadap isu berkaitan integriti dan kewartawan kepada pelajar.
Sejurus sesi dialog, Program Jelajah HAWANA 2024 Bersama Siswa di Zon Timur turut menyelitkan tiga sesi perkongsian bertajuk Mobile Journalism, Fact Check, dan Klik Dengan Bijak.
Program anjuran Kementerian Komunikasi dengan Pertubuhan Berita Nasional Malaysia (BERNAMA) sebagai agensi pelaksana ini juga menyaksikan penyampaian sumbangan dalam bentuk komputer berkeupayaan tinggi dan satu set televisyen pintar kepada Fakulti Bahasa dan Komuniksi, UniSZA, selaku tuan rumah. Turut sama menerima sumbangan adalah Universiti Malaysia Terengganu dan Universiti Malaysia Kelantan serta penyampaian komputer riba secara simbolik kepada mangsa banjir oleh Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM).
Turut hadir Naib Canselor UniSZA Prof. Dato’ Dr. Fadzli Adam, Ketua Pegawai Eksekutif Bernama, Datin Paduka Nur-ul Afida Kamaludin, dan Ketua Pengarang Bernama merangkap Pengarah Projek HAWANA 2024, Arul Rajoo Durar Raj, dan.
Program HAWANA 2024 Bersama Siswa telah melabuhkan tirai pada hari ini dengan menyaksikan penyertaan seramai 250 orang pelajar dari jurusan Sarjana Muda Perhubungan Awam dengan Media Kontemporari (Kepujian), Sarjana Muda Bahasa Melayu Kontemporari dengan Media Interaktif (Kepujian), dan Sarjana Muda Bahasa Inggeris dengan Komunikasi (Kepujian) dari Fakulti Bahasa dan Komunikasi, UniSZA.
Sebagai rekod, siri Jelajah HAWANA 2024 Bersama Siswa telah bermula pada Mei di Sarawak diikuti 5 zon termasuk zon Sabah, selatan, utara, tengah, dan timur di 17 universiti awam yang mensasarkan pelajar dari jurusan komunikasi dan media.
#HAWANA
#FBK
#PPBMK
#demiUniSZA
#BernamaNews
#fahmifadzil
#KementerianKomunikasi
#MCMC
![]() |
![]() |
|
![]() |
![]() |
|
![]() |
![]() |
|
![]() |
![]() |
|
![]() |
![]() |
|
![]() |
![]() |
|
![]() |
![]() |
|