Selamat datang ke laman web Fakulti Bahasa dan Komunikasi, Universiti Sultan Zainal AbidinFBK UniSZA
 

Pertanyaan?

09-668 8100 / 8960
 

Alamat

UniSZA, Kampus Gong Badak, 21300 Kuala Nerus, Terengganu

FBK UniSZA Anjur Program Penyerahan Komputer Riba Bersama SKMM

Kuala Nerus, 8 April 2025 – Fakulti Bahasa dan Komunikasi (FBK), Universiti Sultan Zainal Abidin (UniSZA) dengan kerjasama Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) telah berjaya menganjurkan Program Penyerahan Komputer Riba, bertempat di Dewan Auditorium Al-Zahrawi, Hospital Sultanah Nur Zahirah Akademik (HoSZA).

Program ini merupakan sebahagian daripada inisiatif tanggungjawab sosial sempena Program Jelajah HAWANA 2024 anjuran BERNAMA yang berlangsung di UniSZA pada 12 Disember 2024 dimana MCMC mengumumkan agihan bantuan komputer riba kepada pelajar UniSZA.  Matlamat utama program adalah untuk membantu pelajar yang terjejas akibat bencana banjir serta memperkukuh akses kepada peranti digital dalam kalangan mahasiswa dimana ia adalah selaras dengan keperluan pembelajaran dalam talian dan hibrid.

Seramai 82 orang pelajar UniSZA menerima sumbangan komputer riba daripada pihak MCMC. Daripada jumlah tersebut, 22 orang merupakan pelajar Fakulti Bahasa dan Komunikasi (FBK). Penyertaan aktif pelajar FBK ini turut menyumbang secara langsung kepada pelaksanaan Pelan Tindakan Akademik (PTA) FBK, khususnya dalam aspek kebajikan pelajar, pembangunan akademik digital, serta menyokong Lonjakan 9 PTA, iaitu pembelajaran dalam talian bertaraf global. Inisiatif ini memperlihatkan usaha berterusan universiti dalam memperkasa kemahiran teknologi dan literasi digital pelajar agar mereka bersaing di peringkat antarabangsa.

Majlis penyerahan telah disempurnakan oleh Profesor Dr. Zuhairah Ariff binti Abd Ghadas, yang menjalankan fungsi Naib Canselor UniSZA. Turut hadir memeriahkan majlis ialah:

  • Tuan Mohd Fairus bin Muhamad, Pengarah Kanan Wilayah Timur MCMC
  • Tuan Haji Abd Mubin bin Mohd Zain, Pengarah Negeri MCMC Terengganu
  • Dr. Zurina binti Khairuddin, Dekan Fakulti Bahasa dan Komunikasi
  • Barisan Pengurusan Tertinggi UniSZA
  • Ketua-ketua Pusat Tanggungjawab UniSZA
  • Pegawai-pegawai daripada MCMC

FBK merakamkan setinggi-tinggi penghargaan kepada pihak MCMC atas kerjasama dan sumbangan yang amat bermakna ini. Dr. Nor Hafizah Abdullah, Timbalan Dekan Hal Ehwal Pelajar merangkap pengarah program ini, turut menyatakan bahawa program ini bukan sahaja memberi impak besar dari segi kebajikan dan kesejahteraan pelajar, malah merupakan satu langkah proaktif dalam membina ekosistem pendidikan digital yang mampan. Menurut beliau:

"Program ini amat signifikan kerana ia bukan sahaja meringankan beban pelajar yang memerlukan, malah membuka lebih banyak peluang untuk mereka mengakses pembelajaran secara fleksibel dan global. Ia selari dengan usaha universiti dalam memastikan tiada pelajar yang tercicir dalam era pendidikan digital."

Pelajar-pelajar yang menerima sumbangan turut meluahkan rasa terharu dan penghargaan mereka terhadap inisiatif ini:

“Saya sangat bersyukur menerima sumbangan ini. Komputer riba ini amat membantu saya dalam menyiapkan tugasan dan menghadiri kelas dalam talian. Terima kasih FBK dan MCMC atas peluang ini.”
Nur Azzah Fatini Binti Ab Manah, Pelajar Tahun 2, Sarjana Muda Perhubungan Awam Dengan Media Kontemporari (Kepujian)

“Program ini menunjukkan keprihatinan fakulti terhadap pelajarnya. Ia memberi semangat baharu kepada kami untuk terus belajar walaupun menghadapi pelbagai cabaran.”
Nik Nur Sharlili Binti Nik Ahmad, Pelajar Tahun 4, Ijazah Sarjana Muda Bahasa Inggeris Dengan Komunikasi (Kepujian)

Diharapkan inisiatif ini dapat memberikan impak positif kepada pelajar dalam meneruskan pembelajaran dengan lebih berkesan serta meningkatkan tahap literasi digital dalam kalangan mahasiswa, seiring perkembangan teknologi semasa dan aspirasi pendidikan tinggi negara.

 
     
 
     
 

Berita FB

Hubungi Kami

Fakulti Bahasa dan Komunikasi
Universiti Sultan Zainal Abidin
Kampus Gong Badak
21300 Kuala Nerus
Terengganu Darul Iman

  09-668 8100 / 8960
  fbk@unisza.edu.my
logo3d left

Lokasi

Ikuti Kami

Pengunjung

497755