
𝐅𝐚𝐤𝐮𝐥𝐭𝐢 𝐁𝐚𝐡𝐚𝐬𝐚 𝐝𝐚𝐧 𝐊𝐨𝐦𝐮𝐧𝐢𝐤𝐚𝐬𝐢 𝐔𝐧𝐢𝐒𝐙𝐀 𝐀𝐧𝐣𝐮𝐫 𝐊𝐞𝐦 𝐁𝐚𝐡𝐚𝐬𝐚 𝐀𝐫𝐚𝐛 & 𝐈𝐧𝐠𝐠𝐞𝐫𝐢𝐬 𝐁𝐞𝐫𝐬𝐚𝐦𝐚 𝐏𝐞𝐥𝐚𝐣𝐚𝐫 𝐒𝐌𝐀 𝐅𝐚𝐮𝐳𝐢
Kuala Nerus, 19 Jun – Fakulti Bahasa dan Komunikasi (FBK) Universiti Sultan Zainal Abidin (UniSZA) dengan kerjasama Sekolah Menengah Agama (SMA) Fauzi telah menganjurkan program Explore & Excel: Arabic & English Language Camp selama dua hari bermula 18 hingga 19 Jun lalu. Program ini berlangsung di UniSZA Kampus Gong Badak dan melibatkan seramai 38 orang pelajar Tingkatan 5 SMA Fauzi.
Program ini bertujuan untuk menarik minat pelajar menguasai bahasa Arab dan Inggeris melalui pendekatan yang santai dan interaktif. Pelbagai aktiviti permainan bahasa telah dirancang bagi memastikan sesi pembelajaran menjadi lebih menyeronokkan dan berkesan.
Seramai 16 orang fasilitator yang terdiri daripada pensyarah serta wakil guru dari kedua-dua bidang bahasa, iaitu Bahasa Inggeris dan Bahasa Arab, turut terlibat secara aktif dalam menjayakan kem ini. Kehadiran mereka memastikan setiap aktiviti dapat dijalankan dengan lancar dan bimbingan diberikan secara menyeluruh kepada para pelajar.
Majlis perasmian program telah disempurnakan oleh YBrs. Dr. Suzana binti Sulaiman, Ketua Pusat Pengajian Bahasa Arab FBK. Dalam ucapannya, beliau menekankan kepentingan penguasaan pelbagai bahasa dalam dunia serba modat ini, terutamanya bahasa Arab dan Inggeris yang merupakan bahasa penting dalam pelbagai bidang.
Diharapkan program ini dapat memberi impak positif kepada pelajar SMA Fauzi dan menyuntik semangat baharu dalam usaha mereka menguasai kemahiran bahasa.
Sumber: FB FBK