
Majlis Apresiasi Warga Alumni FBK 2025
KUALA NERUS, 14 JUN 2025 – Semangat perpaduan dan keteguhan ukhuwah antara pelajar, pensyarah dan alumni merupakan nilai utama yang diketengahkan dalam Majlis Apresiasi Warga & Alumni FBK UniSZA 2025 yang telah diadakan pada Sabtu 14 Jun 2025, jam 8:30 malam. Bertempat di The Serai Cottage Downtown Hotel Gong Badak, majlis ini telah dianjurkan bersama oleh Fakulti Bahasa dan Komunikasi (FBK), Persatuan Alumni FBK (ALCAS) dan Persatuan Mahasiswa FBK (FALCOM), serta mendapat penyertaan oleh Persatuan Bahasa Al-Quran UniSZA (IQRA’), English Language Society UniSZA (ELS) dan Institute of Public Relations Malaysia Students Association UniSZA Chapter (IPRMSA UniSZA).
Majlis dimulakan dengan bacaan doa oleh Saudara Ahmad Harith Syahmi bin Suhaili, Timbalan Presiden FALCOM. Seterusnya, En. Ahmad Fahmi bin Ramli, Presiden ALCAS telah menyampaikan ucapan alu-aluan, diikuti dengan ucapan perasmian yang disempurnakan oleh Dr. Zurina binti Khairuddin, Dekan FBK. Ungkapan penghargaan kepada warga dan alumni FBK serta hasrat untuk terus bekerjasama ialah intipati ucapan dua figura terbabit. Hadir sama memeriahkan majlis ialah beberapa orang tenaga pengajar FBK seperti Dr. Nor Hafizah binti Abdullah, Ustaz Wan Abdul Hayyi bin Wan Omar, Ustaz Mohammad Azizie bin Aziz dan Dr. Mohd Fauzi bin Abdul Hamid, Encik Wan Muhammad bin Wan Abdul Aziz dan Dr. Tuan Sharifah Azura binti Tuan Zaki. Kehadiran jemputan alumni serta para pelajar dari kursus BAM, BAS, BEN dan BPR turut diraikan.
Selain jamuan makan malam, terdapat juga pengisian menarik seperti sesi perkongsian bersama Dr. Mohd Fauzi bin Abdul Hamid tentang perjalanan beliau memperoleh Ijazah Doktor Falsafah (PhD) dalam bidang Pengajaran dan Pembelajaran Bahasa Arab di FBK dari tahun 2019 hingga 2021. Kemudiannya, segmen sembang santai bersama dua orang alumni FBK, En. Nur Ikhmal Zikry bin Rosli (alumni BEN 2019) dan En. Mohd Amir Syakirin bin Maznan (alumni BAS 2024) yang sudi berkongsi pengalaman dan nasihat kepada para pelajar. Beberapa video montaj juga disediakan oleh pihak ALCAS, FALCOM dan IPRMSA UniSZA memaparkan pengenalan jawatankuasa, program-program anjuran serta aktiviti-aktiviti melibatkan persatuan-persatuan tersebut. Acara juga diserikan dengan cabutan bertuah khas buat 30 orang hadirin yang terpilih.
Sumber : FB Alumni FBK





